Friday, September 4, 2009

SAF SEMAKIN PENDEK

Ramadhan sudah hampir ke pertengahan perjalanan, di masjid solat Terawih masih seperti biasa, cuma bilangan jemaah semakin berkurangan, saf semakin pendek, tidak seperti malam-malam awal Ramadhan...Kita sama-sama hidupkan malam Ramadhan penuh barakah ini, sepatah kata Ustaz Ramizu pagi tadi selepas bacaan Yassin di Dataran Gemilang, kalau sepuluh hari pertama Ramadhan diselubungi kerahmatan, kini fasa kedua hari-hari pengampunan....Kita mentafsir diri segala kesilapan lalu, untuk memohon keampunan-Nya, mudah-mudahan diterima.

Para pejuang kecil perang PMR, SPM dan STPM teruskan ketabahan kalian, kami warga SEMELA mendoakan kejayaan dan kecemerlanganmu, InsyaAllah!

TAKLIMAT PENGETUA KEPADA CALON PMR SMK LAJAU DAN RESTU RAMADHAN

Pengetua SMK Lajau, Sahar Misron memberi taklimat motivasi kepada semua 95 calon PMR SMK Lajau hampir satu jam di dataran Gemilang. Selepas itu semua calon berikrar untuk memenuhi sasaran masing-masing, diikuti mohon restu awal(Ramadhan) kepada pengetua, guru penolong kanan dan guru-guru.... semoga doa kami dimakbulkan Allah.....Cemerlanglah SMK Lajau itulah harapan seluruh warga, ingatlah semua A, semua B, semua C, semua D pun dapat ganjaran khas.

Wednesday, September 2, 2009

CALON CEMERLANG PMR SMK LAJAU, BUATLAH KEJUTAN PMR 2009

Pagi ini seramai 12 calon cemerlang PMR SMK Lajau diberi kata semangat dan motivasi agar sentiasa mempunyai azam kental dan kukuh untuk membuat kejutan pada tahunh ini dan berusaha gigih, meneruskan langkah menjadi harapan ibu bapa, guru, pengetua, warga Labuan mencapai kecemerlangan dengan mendapat semua A dalam semua mata pelajaran. Motivasi disampaikan sendiri oleh Pengetua, Sahar Misron di bilik pengetua selama hampir dua jam dalam dua kumpulan. Setiap pelajar berjanji akan berusaha sebaik mungkin untuk mencipta kejutan! Tiada yang mustahil asalkan berusaha dengan penuh keyakinan, ikhlas serta mendapat restu ibu bapa, guru kerana mereka berpotensi melakukan yang terbaik kali ini. Kita doakan kejayaan mereka! Yakin BOLEH! Memang BOLEH!BOLEH!!!!! Sesungguhnya BOLEH! Gunakan kekuatan minda untuk PMR 2009. Catatan tangan kalian dengan ayat-ayat meyakinkan akan menjadi "azimat" dan kenangan manis, InsyaAllah.....Salam pengetua kepada ibu bapa kalian.

Kepada semua calon PMR yang lain anda juga boleh membuat kejutan tersendiri.....ganjarannya RM300.00 seorang kepada pelajar yang mendapat semua A dalam semua mata pelajaran!

Tuesday, August 25, 2009

SAUDARAKU

saudaraku
kembalilah seperti dulu
mengucup salam hormat
usah biarkan tertanya-tanya
apa salah, di mana silap
menjunjung kasih saudara seagama
jernih sinar matamu
tidak bertemu tayangan
bebola mata ini
mencari redup
persahabatan ini
tamu Ramadhan
bagai seorang teman
yang menghulur janji
menagih simpati...
kerana halusnya budi.


SAMSA HARRIS
KL, Labuan
25 Ogos 2009

SETULUS DOA LAILATURQADAR

mari seluruh warga SEMELA
mencari barakah Ramadhan
mencari malamnya
mencari sinar bayang bulannya
berdoa demi keselamatan, kejayaan, kecemerlangan
seluruh warga
menghimpunkan muafakat dengan usaha
tanpa jemu
menghidupkan malam
dengan terawaih, taubat, tahajud
pada rukuk dan sujud
menyembah-Nya penuh tawaduk
menadah tangan lembut
guru ibarat ibu
guru ibarat bapa
anak-anak dahagakan ucap kata kasih sayang
bukan caci cerca umpat keji
pada bibir basah kaulah guruku
kata anak-anak dibelenggu peraturan dan buku-buku
menggenggam sasaran
doakan mereka pada
perjuangan PMR, SPM, STPM
mari kita hidupkan malam-malam
dengan ibadah
moga menemui malam istimewa
yang menjadi rahsia-Nya
setulus doa Lailaturqadar
dari lubuk nurani
rakan-rakan guru
untuk anak-anak SEMELA tercinta!

SAMSA HARRIS
Durian Tunjung, Labuan
25 Ogos 2009

KASUT-KASUTMU DI KAKI, SONGKOKMU DI KEPALA

susun kasut-kasutmu
di bawah ini
diletakkan di bawah kaki
kerana ini tradisi
kasut letaknya bukan di kepala
kasut letaknya di kaki
songkok bukan letaknya di kaki
songkok letaknya di kepala
susun atur kasut-kasutmu
gantungkan songkok baldumu
dengan ilmu
kita lantas berfikir
ternyata benar
kata teman-teman
pesan orang tua-tua
usah diletakkan di tepi
gemuruh orang muda
usah ikutkan hati...


SAMSA HARRIS
KL, Labuan
25 Ogos 2009

MERCU ILMU BERMULA DI SINI

GEDUNG ILMU: SEGALANYA BERMULA

di gedung ini
segalanya bermula
dengan akal kebijaksanaan
dengan anugerah-Nya
Maha Tinggi menjulang mercu
di sini mengumpul lautan pengalaman
segunung selembah teori
untuk dimanfaatkan bersama warga dunia
ke langit ketujuh
menyambar tubuh Ramadhan penuh barakah
ke penghujung perjuangan
pada musim-musim yang tidak pernah melupakan
asal kejadian.

percayalah ilmu benar
menuju mercu
pengorbanan ini
tidak sukar dimaknakan kelangsungan kehidupan
kerana segalanya bermula di sini
di gedung ini.

terima kasih teman-teman
yang setianya masih di sini
menceriakan cuti ini
menyapu cat basah
melekat persahabatan
bersuratkan ilmu
bertintakan muafakat.

SAMSA HARRISDurian Tunjung,
Labuan
25 Ogos 2009