Wednesday, March 25, 2009

PERBINCANGAN IBU BAPA DENGAN PIHAK SEKOLAH

Pihak sekolah mengalu-alukan ibu bapa berbincang dengan pihak sekolah tentang masalah anak masing-masing dari segi akademik, sahsiah,disiplin, kokurikulum dan seumpamanya demi manfaat bersama. Pihak sekolah sentiasa bersikap terbuka dan bersedia mendengar sendiri secara terus daripada ibu bapa termasuk dengan pengetua, penolong kanan serta guru-guru sekolah ini.

Temu janji yang tidak mengganggu pembelajaran di dalam kelas sangat dialu-alukan. Ibu bapa/penjaga pelajar boleh membuat temu janji menerusi telefon atau faks:

Tel: 087-462995

Faks: 087-462463

HP Pengetua: 012-9128609

Ibu bapa/penjaga juga boleh menyaluran segala cadangan, pandangan atau aduan menerusi talian di atas atau alamat sekolah:

Pengetua,
SMK Lajau,
Peti Surat 81514,
87025 W.P Labuan

Sunday, March 22, 2009

GEOPARK LANGKAWI YANG MEMUKAU

Mesyuarat Pengetua dengan Pengarah dan pegawai JPN Labuan pada 18-21 Mac, mencipta kelainan dengan kesempatan cuti dengan menyusuri Taman Geopark KILIM yang sungguh memukau kami....dengan permulaan hujan lebat, hingga kami sempat membeli baju hujan 3 RM10.00, lucu juga melihat rakan-rakan yang tidak biasa memakainya, seperti menebar roti jala, yang akhirnya koyak-rabak.... basah lecun juga, kemudian cuaca kembali cerah. Perhentian pertama melihat pelbagai jenis ikan sangkar, yang paling menarik "ikan sumpit" yang pandai menyumpit macam orang asli apabila diberi roti makanannya.

Keliling kami hutan bakau yang beribu tahun usianya, sungguh mengagumkan, sesuai untuk aku yang "major Geografi" mungkin juga pengarah yang sama major di u, juga Puan Rosni... mungkin juga kawan-kawan lain pun tumpang seronok jua... Hutan bakau yang memukau, habitat hidupan tepi pantai yang unik, tidak hairanlah kalau kami lihat banyak sekali kapal "Mat Salleh" di sepanjang sungai berlabuh..mungkin juga sewa "parking:nya murah...

Selepas itu menyusur lagi menikmati batuan kapur yang pelbagai bentuk di keliling sungai/muara. Melihat ular kapak yang kekenyangan di atas dahan, boleh berada di situ berbulan-bulan lamanya. Menusuri lohong ombak yang membentuk gua batu kapur yang boleh dilalui ketika air pasang saja.

Memberi makan helang "Langkawi" dengan perut ayam, kumpulan helang yang banyak menyambar, sungguh menghiburkan....

Selepas itu kami melihat "Pulau Kasut" sebelum sejenak ke laut langkawi sempadan Siam, rasa nak berenang menyeberangi sempadan, aku lepaslah kerana bawa pasport, rakan lain apa hal.... tak jadilah "berenang" ke Siam.

Perjalanan akhir menyusur Gua Kelawar dengan lampu suluh sewa RM1.00, aku sudah bersedia dengan lampu suluh kecil dan "lighter" jika perlu digunakan.... bau tahi kelawar memualkan.... cepat saja jalan kami...bau hancing saja..."siapa makan cili terasa pedasnya"....

Pulang ke Jeti Mula dengan kepuasan kerana inilah antara hobi aku selain meredah hutan dan memanjat gunung. Di gerai makan Pengarah yang mulia hatinya dan pemurah belanja kami laksa langkawi, ok juga rasanya, kawan kami Ammar pesan mee udang, mak datuk besarnya udang.... mahal tu Pengarah! Lain kali kami belanja tuan pengarah pula, asyik tuan saja belanja malu kami....

Tiga jam menyusur "Geopark Langkawi" sungguh bermakna kepada kami. Gambar menyusul dalam post akan datang....

Tuesday, March 17, 2009

PENGETUA SMK LAJAU MESYUARAT DI LANGKAWI

Pengetua SMK Lajau, Sahar bin Misron bersama-sama lapan rakan pengetua lain serta pegawai Sektor SPA dan Pengarah Pelajaran, Mohammad Zaki bin Mohd. Yusof, AMN bermesyuarat di Hotel Seview, Langkawi dari 18-21 Mac 2009.

Selamat bermesyuarat semua.

Monday, March 16, 2009

SELAMAT BERCUTI WARGA MURID DAN GURU SMK LAJAU

Selamat bercuti seluruh warga murid dan guru SMK Lajau. Gunakan cuti seminggu ini dengan sebaik-baiknya, ulang kaji pelajaran terutama murid calon PMR, SPM dan STPM...Kaji kelemahan ujian 1 yang lepas untuk Peperiksaan Semester 1 Mei akan datang, ikuti jejak langkah abang dan kakak kalian yang cemerlang SPM, STPM tahun lalu. Kita buktikan kita bukan lagi "uncit" di Labuan, malah boleh menjulang cemerlang setaraf dengan rakan lain di peringkat kebangsaan.

Friday, March 13, 2009

BACAAN YASSIN DAN JAMUAN KESYUKURAN

Majlis Bacaan Yassin dan Jamuan Kesyukuran SMK Lajau diadakan di Dataran Gemilang SMK Lajau dan kantin sekolah pagi ini atas kejayaan cemerlang pelajar SMK Lajau dalam SPM dan STPM Tahun 2008. Bacaan Yassin dipimpin oleh Ustaz Zahari. Selepas itu ucapan daripada Pengetua SMK Lajau, Sahar Misron, diikuti oleh penyampaian sumbangan kepada pelajar cemerlang SPM oleh guru-guru, selepas itu perkongsian pelajar cemerlang Sdr. Huzaisys Md. Rani yang memperoleh 10A dalam SPM serta Safwan Matnor, Hamizan, serta perkongsian oleh Md. Rani, ayah Huzaisys, memberi motivasi kepada pelajar sekolah ini. Kepada semua guru, kita ucapkan tahniah dan terima kasih atas usaha bersungguh-sungguh begi membolehkan kejayaan dicapai pelajar SEMELA.

Selepas itu, semua pelajar dan guru serta warga sekolah menikmati jamuan yang disediakan....Sungguh berselera mereka menikmati hidangan yang disediakan oleh pihak kantin sekolah.

Lepas ini kita gemblengkan tenaga bersama guru,warga sekolah dengan pelajar serta ibu bapa, masyarakat untuk memastikan kecemerlangan diteruskan...

Thursday, March 12, 2009

OLAHRAGA MSSWPL

Berita terkini dari Kolej Matrikulasi Labuan, SMK Lajau menambah jumlah kutipan pingat. Satu lagi gangsa diraih oleh Olahragawati Sekolah, Noraini Relenship.... Tahniah!

KEPUTUSAN SPM SMK LAJAU, KEPUASAN SELURUH WARGA SEMELA

Keputusan SPM diumumkan siang tadi. Keputusan diambil oleh Pengetua, Sahar Misron, sebelum dipanjangkan kepada Penolong Kanan 1, Dona Undoh dan PK HEM, Siti Zubaidah Salleh untuk terus dibawa balik ke sekolah untuk disampaikan kepada calon SPM yang menunggu sejak awal pagi lagi.. Syukur dalam Sidang Akhbar Pengumuman Keputusan SPM Pengarah dengan Media tadi, SMK Lajau mencatat kejayaan tersendiri walaupun keputusan keseluruhan mencatat sedikit penurunan daripada 100% (2006 dan 2007) kepada 94.81% tetapi seluruh warga bangga dengan kejayaan melonjakkan kecemerlangan dari segi kualiti.

Bagi pencapaian lulus semua mata pelajaran, SMK Lajau di kedudukan keempat di belakang SM Sains, SM St. Anne, dan SMK Labuan, mengatasi lima(5) sekolah menengah harian yang lain. Manakala dalam kedudukan GPK, berlaku peningkatan memberangsangkan daripada 6.9 kepada 5.42, SMK Lajau di kedudukan kelima (5)mengatasi 4 sekolah lain.

PALING MEMBANGGAKAN, seorang pelajar mendapat 10A, yang merupakan pencapaian terbaik sejak sekolah ini beroperasi pada Tahun 1997. Tahniah kepada pelajar ini.... namanya, tunggulah esok untuk "suspens" kan? Namanya akan tercatat dalam Galeri Warisan SMK Lajau....

Kepada semua guru yang melonjakkan pencapaian, kita ucapkan sekalung TAHNIAH, kepada yang kurang menyengat, Tahun 2009 Tahun Bertindak Kita meningkatkan pencapaian peratus kualiti pelajar SMK Lajau yang disayangi.

Tahniah kepada setiap guru, staf, ibu bapa, ketua-ketua kampung jiran, Jabatan Pelajaran Labuan, pegawai perhubungan polis sekolah, para ibu bapa, masyarakat serta semua pihak yang bersama-sama menaikkan imej SMK Lajau.

Sehubungan itu, selepas bacaan Yassin pagi esok (Jumaat), yang menjadi tradisi sejak Tahun 2006 lalu, SATU JAMUAN KESYUKURAN nasi bariani akan diadakan di DATARAN GEMILANG. Semua dijemput hadir.