Tuesday, August 25, 2009

SAUDARAKU

saudaraku
kembalilah seperti dulu
mengucup salam hormat
usah biarkan tertanya-tanya
apa salah, di mana silap
menjunjung kasih saudara seagama
jernih sinar matamu
tidak bertemu tayangan
bebola mata ini
mencari redup
persahabatan ini
tamu Ramadhan
bagai seorang teman
yang menghulur janji
menagih simpati...
kerana halusnya budi.


SAMSA HARRIS
KL, Labuan
25 Ogos 2009

SETULUS DOA LAILATURQADAR

mari seluruh warga SEMELA
mencari barakah Ramadhan
mencari malamnya
mencari sinar bayang bulannya
berdoa demi keselamatan, kejayaan, kecemerlangan
seluruh warga
menghimpunkan muafakat dengan usaha
tanpa jemu
menghidupkan malam
dengan terawaih, taubat, tahajud
pada rukuk dan sujud
menyembah-Nya penuh tawaduk
menadah tangan lembut
guru ibarat ibu
guru ibarat bapa
anak-anak dahagakan ucap kata kasih sayang
bukan caci cerca umpat keji
pada bibir basah kaulah guruku
kata anak-anak dibelenggu peraturan dan buku-buku
menggenggam sasaran
doakan mereka pada
perjuangan PMR, SPM, STPM
mari kita hidupkan malam-malam
dengan ibadah
moga menemui malam istimewa
yang menjadi rahsia-Nya
setulus doa Lailaturqadar
dari lubuk nurani
rakan-rakan guru
untuk anak-anak SEMELA tercinta!

SAMSA HARRIS
Durian Tunjung, Labuan
25 Ogos 2009

KASUT-KASUTMU DI KAKI, SONGKOKMU DI KEPALA

susun kasut-kasutmu
di bawah ini
diletakkan di bawah kaki
kerana ini tradisi
kasut letaknya bukan di kepala
kasut letaknya di kaki
songkok bukan letaknya di kaki
songkok letaknya di kepala
susun atur kasut-kasutmu
gantungkan songkok baldumu
dengan ilmu
kita lantas berfikir
ternyata benar
kata teman-teman
pesan orang tua-tua
usah diletakkan di tepi
gemuruh orang muda
usah ikutkan hati...


SAMSA HARRIS
KL, Labuan
25 Ogos 2009

MERCU ILMU BERMULA DI SINI

GEDUNG ILMU: SEGALANYA BERMULA

di gedung ini
segalanya bermula
dengan akal kebijaksanaan
dengan anugerah-Nya
Maha Tinggi menjulang mercu
di sini mengumpul lautan pengalaman
segunung selembah teori
untuk dimanfaatkan bersama warga dunia
ke langit ketujuh
menyambar tubuh Ramadhan penuh barakah
ke penghujung perjuangan
pada musim-musim yang tidak pernah melupakan
asal kejadian.

percayalah ilmu benar
menuju mercu
pengorbanan ini
tidak sukar dimaknakan kelangsungan kehidupan
kerana segalanya bermula di sini
di gedung ini.

terima kasih teman-teman
yang setianya masih di sini
menceriakan cuti ini
menyapu cat basah
melekat persahabatan
bersuratkan ilmu
bertintakan muafakat.

SAMSA HARRISDurian Tunjung,
Labuan
25 Ogos 2009

Sunday, August 23, 2009

SELAMAT BERPUASA

Selamat berpuasa untuk warga Islam sedunia, seMalaysia, seLabuan,SMK Lajau Labuan, semoga salam Ramadhan ini membawa barakah dengan amal ibadat memantapkan perpaduan seluruh ummah.

Wednesday, August 19, 2009

PERJUMPAAN WARGA PENDIDIKAN W.P LABUAN DENGAN TIMBALAN MENTERI PELAJARAN

Satu perjumpaan seluruh warga pendidikan W.P Labuan dengan YB Timbalan Menteri Pelajaran YB Dr. Hj Mohd. Puad Zarkashi diadakan di Dewan SJKC Chi Wen malam tadi jam 8.40 malam 19 Ogos 2009. YB menyampaikan amanat beliau dan menerima soalan dan pandangan warga pendidikan dalam majlis tersebut. Turut hadir Pengarah Pelajaran Labuan, Encik Mohammad Zaki bin Mohd Yusof, pegawai-pegawai JPN Labuan, pengetua-pengetua dan guru-guru besar. Selepas majlis itu, YB Timbalan Menteri Pelajaran bersama Pengarah Pelajaran Labuan, pegawai JPN Labuan, pengetua dan guru besar menikmati makan malam makanan laut di Restoran Anjung Warisan, Tanjung Aru.Pagi ini YB Menteri Pelajaran akan membuat lawatan ke Kolej Matrikulasi Labuan, dan akan terus ke Nabalu dan Kundasang, Sabah.

Thursday, August 13, 2009

MINGGU PEPERIKSAAN DAN SELESEMA H1N1....

Pelajar SMK Lajau baru sahaja selesai menghadapi peperiksaan Percubaan PMR, SPM dan STPM dan ujian tingkatan lain, dalam bara hangat wabak Selesema H1N1 yang agak membimbangkan kami di Labuan, namun seluruh warga telah diingatkan sentiasa berwaspada dan menjaga kebersihan diri, juga pemeriksaan suhu badan, yang demam perlu dapatkan rawatan hospital atau klinik....yang demam sama ada berehat di rumah atau di hospital, ikut arahan doktor.

Pelajar yang didapati demam akan diminta pulang, dengan diambil oleh ibu bapa atau dihantar pulang guru bertugas...Esok Jumaat kita sama-sama seperti minggu-minggu yang lepas, sama-sama membaca yassin dan solat hajat.... esok juga ada taklimat pihak SPRM Labuan....Semoga warga SMK Lajau dijauhi wabak "menakutkan" ini, hari ini sudah 51 kematian, kebanyakannya yang berisiko .... Moga Allah jaauhkan daripada warga sekolah, warga Labuan, warga Malaysia dan warga dunia....InsyaAllah...