Thursday, May 29, 2008

PEGAWAI PERHUBUNGAN POLIS MELAWAT SMK LAJAU

Pegawai Perhubungan Polis SMK Lajau,dari IPD W.P Labuan, Puan Nurhidayah melawat SMK Lajau pagi ini 29 Mei 2008. Beliau bersama pegawai pengiringnya Puan Marfuzah sempat berbincang dan bertanyakan perkembangan SMK Lajau, bertanyakan khabar serta mengetahui aktiviti bulan Mei dan Jun selama hampir 20 minit dengan Pengetua SMK Lajau, Encik Sahar bin Misron.

Pihak sekolah mengucapkan terima kasih dan penghargaan kepada beliau yang meluangkan masa walaupun dalam kesibukan tugas di pejabat. Semoga hubungan ini akan bertambah erat bagi memantapkan disiplin murid sekolah ini.

Sekalung penghargaan dan terima kasih.

SMK Lajau Jawatankuasa Cenderamata dan KompangTakraw MSSM

SMK Lajau telah melaksanakan tugas sebagai JK Cenderamata dan Kompang penyambut tamu Pertandingan Sepak Takraw MSSM yang melibatkan 16 negeri yang dilangsungkan di Dewan Serbaguna Perbadanan Labuan petang ini, 29 Mei 2008. Perasmian disempurnakan oleh Wakil YB Ahli Parlimen Labuan iaitu Dato' Haji Yunos bin Haji Kurus, merangkap Pengerusi Penasihat Perbadanan labuan. Pengarah Pelajaran W.P Labuan Encik Mohammad Zaki bin Mohd. Yusof menyampaikan ucapan alu-aluan.

Pengetua SMK Lajau dan warga SEMELA merakamkan ucapan terima kasih,penghargaan dan tahniah kepada JK Cenderamata yang antaranya ialah Puan Norsiah Nasip, Puan Rohainah Baniamin, Puan Habibah bt Osman, Puan Nurfiah Awang Tangah, Puan KuIzanah, Puan Jumah bt Ismail, dan Puan Voon Ven Lie serta tak lupa kepada Pegawai jabatan Pelajaran Cik Nur Ain. Juga ucapan yang sama kepada 8 murid yang memalu paluan kompang semasa ketibaan Tetamu Kehormat dan semasa perasmian majlis.Malam tadi Majlis Jamuan Meraikan Ketua Kontijen Negeri-Negeri diadakan di Restoran Terumbu Warisan, Tanjung Aru, yang juga penyampaian cenderamata kepada semua kontijen. Jasa kalian amat dihargi.

TERIMA KASIH SEKALUNG BUDI

Selamat bercuti dan selamat menyambut Hari Menuai.

Wednesday, May 28, 2008

PENUTUPAN SEPAKTAKRAW MSSM

Majlis Penutupan Pertandingan Sepak Takraw MSSM akan diadakan di Dewan Serbaguna Perbadanan Labuan pada jam 2.00 petang 29 Mei 2008 dan akan dirasmikan oleh YB Ahli Parlimen W.P Labuan YB Dato' Yussof Haji Mahal. Pengarah Pelajaran W.P Labuan, Encik Mohammad Zaki bin Mohd. Yusof turut hadir.

SMK Lajau akan mengendalikan bahagian cenderahati. Beberapa guru terlibat, antaranya Puan Norsiah Nasip, Puan Rohainah Baniamin, Puan Nurfiah Awang Tangah, Puan Angeline, Puan Jumah Ismail. Malam tadi Majlis Jamuan meraikan Ketua Kontijen negeri-negeri telah diadakan di Restoran Terumbu Warisan, Tanjung Aru, W.P Labuan. Penyerahan cenderahati kepada ketua-ketua kontijen juga telah disempurnakan oleh Pengarah Pelajaran W.P Labuan.

Warga SMK Lajau juga berdoa agar adik Hafiz dari Pasukan Terengganu yang dimasukkan ke Wad Hospital Labuan kerana disyaki appendix SEGERA SEMBUH.

Monday, May 26, 2008

SELAMAT DATANG KONTIJEN SEPAK TAKRAW SELURUH NEGARA

Pengetua dan warga SMK Lajau mengucapkan selamat datang ke W.P Labuan kepada Kontijen Sepak takraw Bawah 12 Tahun dan 15 Tahun seluruh negara. Pertandingan berlangsung dari 24 hingga 29 Mei 2008. Selamat bertanding dengan penuh semangat kesukanan.

Kepada warga SMK Lajau dan warga sekolah lain berilah sokongan kepada pasukan W.P Labuan. Semoga berjaya meraih kejayaaan.

SELAMAT MENGHADAPI PEPERIKSAAN PESERTA KURSUS INDUKSI W.P LABUAN

Seramai 67 peserta Kursus Induksi W.P Labuan akan yang terdiri dari 14 guru sekolah rendah dan menengah serta pensyarah Kolej Matrikulasi Labuan akan menghadapi peperiksaan pada hari Khamis ini, 30 Mei 2008.

Pengetua SMK Lajau,Encik Sahar bin Misron yang juga penceramah Kursus Induksi "Perintah AM" mendoakan kejayaan semua peserta. Kepada peserta kursus buatlah persediaan rapi dan manfaatkan bahan ceramah yang disampaikan oleh para penceramah.

Anda BOLEH!

WARGA SMK LAJAU MENDOAKAN ANAK CIKGU AISAH SEGERA SEMBUH

Seluruh warga SMK Lajau berdoa semoga anak Cikgu Aishah SK Bukit Kalam bernama Firdaus yang terlibat dalam kemalangan jalan raya di Labuan seminggu lepas SEGERA SEMBUH. Firdaus kini dirawat di Unit ICU Hospital Queen, Kota Kinabalu dan keadaannya stabil.

Pengetua SMK Lajau sempat menziarahi Firdaus pada petang Ahad semalam dan sempat berjumpa dengan Cikgu Aishah di Wad ICU Tingkat 1 Hospital Queen Kota KInabalu. Pengetua SMK Lajau ditemani oleh Puan Rosinah (Staf Jabatan Pelajaran Labuan) dan Cikgu Irwan dari SMK Mutiara. Pengetua SMK Lajau kebetulan berada di Kota Kinabalu memberikan ceramah Induksi kepada 67 orang guru W.P Labuan dan pensyarah Kolej Matrikulasi.

Semoga Firdaus segera kembali pulih seperti biasa dan meneruskan pengajiannya di IKM Kota Kinabalu.

Saturday, May 24, 2008

SAMBUTAN HARI GURU PERINGKAT W.P LABUAN MERIAH

Sambutan Hari Guru Peringat W.P Labuan berlangsung di Dewan Serbaguna Perbadanan Labuan dari jam 1.00 hingga 5.00 petang. Yang Berbahagia Pengarah Pelajaran W.P Labuan, Encik Mohammad Zaki bin Mohd. Yusof, menyampaikan ucapan sebagai wakil rasmi Y. Bhg. Dato KPPM yang tidak dapat hadir kerana urusan rasmi yang lain. Manakala Pengetua SMK Lajau, Encik Sahar bin Misron,merangkap Pengerusi Pengelola membacakan teks ucapan Pengarah Pelajaran W.P Labuan.

Sambutan yang begitu meriah dengan persembahan koir, ikrar hari guru, perarakan bendera hari guru, nyanyian Lagu Guru Malaysia dan lagu tema, di samping penyampaian pelbagai anugerah termasuk Anugerah Tokoh Guru yang dianugerahkan kepada Tuan Haji Harris (Beliau menerima iringan RM3000.00, anugerah anak guru cemerlang, anugerah guru inovatif, pusat sumber cemerlang(Pemenang: SK Tanjung Aru dan SM Teknik Labuan)

Lebih 800 orang warga guru di wilayah ini hadir menyerikan majlis, dengan jemputan ketua jabatan, ketua kampung, komponen barisan nasional, pesara guru, dan jemputan lain, termasuk pihak media. Jemputan dan warga guru menikmati jamuan yang disediakan penganjur.

Pengetua SMK Lajau selaku Pengerusi Pengelola merakamkan ucapan terima kasih dan penghargaan kepada semua pihak yang bersama-sama menjayakan majlis gemilang-gemilang ini.

Wednesday, May 21, 2008

TIGA GURU SMK LAJAU MENGIKUTI KURSUS INDUKSI

Tiga guru SMK Lajau mengikuti Kursus Induksi di Hotel Ruby, Kota Kinabalu dari 17 Mei hingga 28 Mei 2008. Mereka ialah Puan Siti Sarini Yunos, Puan Norhayati Yusof dan Cik Nuraiza Muhd Azmi. Seluruh warga SMK Lajau mengucapkan selamat berkursus semoga cemerlang. Pengetua SMK lajau, yang merupakan penceramah bertauliah akan turut memberi ceramah bertajuk "Perintah AM" bersama-sama penceramah dari Jabatan Pelajaran W.P Labuan yang lain. Beliau akan memberikan ceramah selama enam jam pada 25 Mei 2008 (Ahad)

KETUA SEKTOR JAMINAN KUALITI JABATAN PELAJARAN SELANGOR MELAWAT SMK LAJAU

Ketua Sektor Jaminan Kualiti Jabatan Pelajaran Negeri Selangor, Puan Hajah Muning bt Yusof mengadakan lawatan "coaching and mentoring" ke SMK Lajau, W.P Labuan hari ini 21 Mei 2008. Beliau sempat berkongsi pengalaman dengan Pengetua SMK Lajau, Encik Sahar bin Misron selama hampir tiga jam. Beliau yang berpengalaman menjadi pengetua selama lapan tahun sebelum bertugas di Jabatan Pelajaran Selangor, berkongsi pengalaman ketika beliau menerajui sekolah di Selangor, menceritakan beberapa inovasi yang pernah dibuatnya di sekolah.
Perkongsian pengalaman beliau dengan pengetua SMK Lajau, merupakan satu "mentoring" yang amat berguna untuk membangunkan sekolah dengan tuju hala yang jelas, selaras dengan visi sekolah, "SMK Lajau terbaik Tahun 2010" Beliau optimis bahawa SMK Lajau berpotensi cerah untuk cemerlang dalam bidang pengurusan, kurikulum, kokurikulum dan sahsiah.
Warga SMK Lajau merakamkan ucapan terima kasih dan penghargaan kepada Puan Hajah Muning atas kesudian melawat SMK Lajau.



Tuesday, May 20, 2008

PENGETUA SMK LAJAU KE UDARA DALAM LABUAN FM PETANG INI

Pengetua SMK Lajau, Encik Sahar bin Misron ke udara dalam Radio Labuan FM dalam slot khas Hari Guru bersama DJ Salbiah Ajis. Beliau yang juga Pengerusi Pengelola Sambutan Hari Guru Peringkat W.P Labuan, yang juga mewakili Pengarah Pelajaran W.P Labuan, Encik Mohammad Zaki bin Mohd. Yusof selaku Pengerusi JK Induk, mewar-warkan sambutan Hari Guru Peringkat W.P Labuan yang akan diadakan di Dewan Serbaguna Perbadanan Labuan, pada 23 Mei 2008, jam 1.00 - 5.00 petang. Sambutan Hari Guru Peringkat W.P Labuan akan dirasmikan oleh Yang Berbahagia Ketua Pengarah Pelajaran W.P Labuan.
Beliau turut berkongsi dengan warga pendidik dan masyarakat Labuan tentang aktiviti yang telah dan akan diadakan sempena hari Guru pada tahun ini. Semua warga pendidik di wilayah ini dijemput hadir dalam semua aktiviti, khususnya aktiviti kemuncak pada 23 Mei 2008 serta Majlis Tahlil dan Yassin di Masjid AlMunawar, Pohon Batu.

PASUKAN KRS SMK LAJAU MEWAKILI W.P LABUAN KE PERINGKAT KEBANGSAAN

Pasukan Kadet Remaja Sekolah (KRS) SMK Lajau, W.P Labuan akan mewakili wilayah ini ke peringkat kebangsaan yang akan diadakan di Kuala Lumpur dari 23 hingga 26 Mei ini. Pasukan KRS sekolah ini merupakan johan peringkat negeri, dan akan bertanding di peringkat kebangsaan bersama pasukan KRS SM Teknik Labuan. Seramai 35 ahli KRS sekolah ini akan berjuang menjulang nama W.P Labuan bersama-sama tiga guru pengiring sekolah ini iaitu Cikgu Hajah Jubia, Cikgu Khairunnisa dan Cikgu faridah Hanum. pasukan KRS sekolah ini sedang berlatih setiap petang di bawah bimbingan tiga guru ini.


Petang ini, pengetua SMK Lajau, Encik Sahar bin Misron sempat memberikan kata-kata perangsang, dorongan dan motivasi kepada semua ahli KRS sekolah ini. Beliau mahu mereka berjuang bersungguh-sungguh dan menghadiahkan kemenangan kepada warga guru SMK Lajau, sempena sambutan hari Guru 2008.

SELAMAT BERJUANG ANAK-ANAK SMK LAJAU TERCINTA. KAMI MENDOAKAN KEJAYAAN KALIAN.
" SMK Lajau terbaik 2010"

Monday, May 12, 2008

SMK LAJAU MENYAMBUT HARI GURU 16 MEI 2008

Warga guru, staf dan murid SMK Lajau menyambut Hari Guru Peringkat Sekolah pada

16 Mei 2008
7.00 - 11.30 pagi
Dataran Gemilang SMK Lajau

Pengisian atur cara:

Nyanyian Lagu Negaraku,
Lagu Wilayah Persekutuan,
Lagu Guru Malaysia,
Lagu Sekolah

Pembacaan Perutusan Hari Guru
Ucapan Guru
Ucapan Terima Kasih Guru
Deklamasi Sajak Guru
Permainan Sukaneka
Penyampaian Cenderahati

Terima kasih kepada warga guru SMK Lajau
Jasamu dikenang jua.

MAJLIS PERMUAFKAAN IBU BAPA DENGAN PENGETUA DAN GURU SMK LAJAU

Majlis Permuafakatan antara Ibu Bapa Pelajar Calon STPM dengan Pengetua dan Guru-guru SMK Lajau diadakan di Bilik Semarak sekolah ini petang ini, 12 Mei 2008. Seramai 10 pelajar Tingkatan 6 Atas terlibat dengan perjumpaan fasa pertama ini. Majlis ini berbentuk taklimat dan paparan prestasi pelajar yang akan mengambil STPM hujung tahun ini.
Pihak sekolah mensasarkan kualiti STPM 2008 dipertingkakan lagi, dan memastikan terdapat sebilangan pelajar mendapat semua A dalam STPM tahun ini. Luahan guru, ibu bapa menyemarakkan semangat pelajar untuk terus cemerlang dan menjadikan sekolah ini terbaik di wilayah ini atau di Malaysia.
Pelajar calon STPM juga menandatangani Aku Janji untuk memperoleh keputusan terbaik STPM tahun 2008, dengan disaksikan ibu bapa, Pengetua dan guru-guru.
Pengetua SMK Lajau yakin pelajar SMK Lajau mampu menyerlah sekiranya usaha pelajar diiringi dengan "membaca", "smart study", "bertanya", pengisian kerohanian, "study group" dan "akrab dengan guru", "mendapat restu guru dan ibu bapa", serta "ikhlas belajar"

Saturday, May 10, 2008

MESYUARAT AGUNG PERMULAAN KOPERASI PELAJARAN WILAYAH PERSEKUTUAN LABUAN BERHAD

Mesyuarat Agung Permulaan Koperasi Pelajaran Wilayah Persekutuan Labuan Berhad sempurna diadakan di Dewan SJKC Chi Wen, W.P Labuan 10 Mei 2008, jam 8.00 hingga 12.30 tengah hari. Sebelum mesyuarat, satu taklimat kesedaran koperasi disampaikan oleh Encik Mohd Said Mamat, Pegawai Koperasi dari Suruhanjaya Koperasi Malaysia, Kota Kinabalu, turut hadir Encik Awang Sofri dari SKM Cawangan W.P Labuan.

Seramai 268 warga pendidik seluruh wulayah ini hadir dalam Mesyuarat. Mesyuarat telah memilih 15 Ahli Lembaga Koperasi (ALK). Pengarah Pelajaran dilantik sebagai Pengerusi, Setiausaha Encik Sahar bin Misron (Pengetua SMK Lajau), dan Bendahari Encik Yusup bin Mohamad (Pengetua SMK Pantai) ALK yang lain ialah Encik Omar Baki Matusin, Encik Ismail Abdullah, Puan Maimoon Matnoh, Puan Nor Syamsida Ismail, Encik Ali Deros, Encik Sappar Awang Damit, Encik Mohd. Nizam Yassim, Puan Dayang Sarifah, Encik Mohd. Mazri, Encik Mishad, Puan Rohana Khalid, Encik Muliyono. Tiga orang Juruaudit Dalam turut dilantik dalam Mesyuarat ALK iaitu Encik Ammar Che Soh, Encik Jirim Toysim, dan Encik SHim Cheng Teo.
Semoga koperasi kita meniti cabaran dan terus cemerlang demi martabat dan kebajikan warga pendidikan di wilayah ini.
Setiausaha
Koperasi Pelajaran Wilayah Persekutuan Labuan Berhad.
10 Mei 2008

PROGRAM SEPAGI ALA-ALA MAWI MERIAH

Program Sepagi Ala-Ala Mawi, satu program bersama SMK Lajau dan SMK Pantai iaitu memotong rambut murid lelaki no. 3 berlangsung dengan meriah di Dataran Gemilang SMK Lajau 9 Mei 2008. Jawatankusa Pelaksana merakamkan ucapan penghargaan dan terima kasih kepada Yang Berbahagia Pengarah Pelajaran W.P Labuan, Encik Mohammad Zaki bin Mohd Yusof yang merasmikan majlis tersebut. 100 murid lelaki kedua-dua sekolah terlibat dengan program ini. Mereka kini kelihatan kemas, ceria dan bergaya, menggambarkan watak murid berdisiplin SMK Lajau dan SMK Pantai.
Saranan Pengarah Pelajaran W.P Labuan untuk mengadakan susulan aktiviti seperti menubuhkan Kelab Peminat MAWI W.P Labuan, mengaturkan perjumpaan susulan, dan mengekalkan budaya berambut pendek mendapat reaksi positif daripada pelajar dan guru.

Thursday, May 8, 2008

MURID SMK LAJAU MENGHADAPI PEPERIKSAAN PERTENGAHAN TAHUN

Semua murid SMK Lajau dari Tingkatan 1 hingga Tingkatan 6 menduduki Peperiksaan Pertengahan Tahun 2008 mulai 8 Mei hingga 23 Mei 2008. Seluruh warga SMK Lajau, guru, kakitangan dan ibu bapa mendoakan kejayaan dan kecemerlangan kalian.
Buat persediaan cukup, jaga kesihatan, jawablah soalan dengan teliti mengikut arahan soalan. Semoga cemerlang anak-anak SMK Lajau tercinta.

PROGRAM SEPAGI ALA-ALA MAWI SMK LAJAU DAN SMK PANTAI

Majlis Sepagi Ala-Ala Mawi, pelancaran potongan rambut murid lelaki no.3 Program Bersama SMK Lajau dan SMK Pantai akan diadakan seperti ketetapan yang berikut;
Tarikh: 09 Mei 2008 (JUMAAT)
Masa: 8.00 pagi
Tempat: Dataran Gemilang SMK Lajau, W,P Labuan
Sasaran: 100 murid lelaki
Tujuan: Murid lelaki kemas, ceria, bergaya serta peningkatan sahsiah dan disiplin diri

Perasmi: Yang Berbahagia Pengarah Pelajaran W.P Labuan
Encik Mohammad Zaki bin Mohd. Yusof

Program ini mendapat restu PIBG kedua-dua sekolah. YDP PIBG SMK Lajau, Tuan Haji Alias bin Husein dan YDP PIBG Encik Moin Setimin serta Pengetua SMK Lajau, Encik Sahar bin Misron dan Pengetua SMK Pantai, Encik Yusup bin Mohamad akan hadir dalam majlis ini.

"Murid tersayang: kemas, ceria, bergaya"


Tuesday, May 6, 2008

MESYUARAT AGUNG PERMULAAN KOPERASI PELAJARAN W.P LABUAN BHD.(KOPELL)

Mesyuarat Agung Permulaan KOPELL Bhd. akan diadakan seperti ketetapan yang berikut;

Tarikh: 10 Mei 2008 (Sabtu)
Masa: 8.00 pagi
Tempat: Dewan SJKC Chi Wen,
Pengerusi: Pengarah Pelajaran W.P Labuan
Hadiah: Hamper Bertuah (100 hadiah)

Semua warga pendidikan di wilayah ini iaitu, pegawai, guru, pensyarah, kakitangan, bekas guru, pegawai, kakitangan, pensyarah yang bekhidmat di sini dijemput hadir. Mereka bolehlah membayar pendaftaran RM10.00, serta syer sekurang-kurangnya RM100.00 melalui ketua jabatan, ketua sektor, pengetua, guru besar masing-masing lebih awal. Bayaran boleh dibuat semasa pendaftaran pada 10 Mei nanti.
Kaunter pendaftaran awal juga akan dibuka di Jabatan Pelajaran W.P Labuan mulai jam 11 pagi hari ini, 7 Mei 2008 di Aras 10 Ujana Kewangan. Cepat cepat siapa cepat untung cepat.
Rebutlah peluang menjadi ahli, sambil memenangi hamper bertuah. Siapa lagi yang akan memartabatkan profesion kalau bukan kita.
SAHAR MISRON
Setiausaha Penaja
b.p Pengerusi Penaja
KOPELL Bhd.
Tel:087-462995

Monday, May 5, 2008

PROGRAM BUDAYA SALAM SMK LAJAU

Budaya salam di SMK Lajau menjadi amalan seluruh warganya, murid, guru, kakitangan, pelawat. Amalan ini adalah asas kepada pemupukan nilai-nilai murni, selain mengelakkan ketegangan atau konflik dalam kalangan warga sekolah ini. Sebagai simbolik amalannya, setiap hari Isnin, selepas perhimpunan rasmi mingguan guru lelaki akan bersalaman dengan murid lelaki dan sesama guru lelaki, sementara guru perempuan dengan murid perempuan dan sesama mereka. Seluruh warga juga digalakkan bersalaman apabila berjumpa di kawasan sekolah atau di luar sekolah.

PENOLONG KANAN TADBIRAN DAN KURIKULUM SMK LAJAU MENGIKUTI PROGRAM KEMBARA PENGURUSAN

Penolong Kanan tadbiran dan Kurikulum SMK Lajau, W.P Labuan, Puan Dona Undoh mengikuti Program Kembara Pengurusan di Kota Kinabalu, Sabah dari 5 hingga 8 Mei 2008 bersama-sama semua Penolong Kanan 1 dari seluruh W.P Labuan.
Selamat kembara Puan Dona dan rakan-rakan penolong kanan lain, semoga ilmu yang diperoleh nanti dapat dikongsi seluruh warga sekolah ini.

PENGETUA SMK LAJAU MENYAMBUT HARIJADI KE-49 PADA 3 MEI 2008

Pengetua SMK Lajau, W.P Labuan, Encik Sahar bin Misron menyambut hari ulang tahun kelahirannya yang ke-49 pada 3 Mei 2008. Selamat menyambut hari ulang tahun kelahiran daripada seluruh warga SMK Lajau. Dua hari sebelumnya, seorang guru sekolah ini iaitu Encik Mohd. Firlii Firzuan Abdullah juga menyambut hari ulang tahun kelahirannya iaitu pada 1 Mei 2008. Semoga panjang umur, dan murah rezeki kepada mereka.

MAJLIS PERMUAFAKATAN SMK LAJAU DENGAN IBU BAPA/PENJAGA PELAJAR CALON STPM 2008

Satu Majlis Permuafakatan Pengurusan SMK Lajau dengan Ibu bapa/Penjaga Pelajar serta Pelajar calon STPM 2008 akan diadakan di Bilik Semarak, SMK Lajau, W.P Labuan pada 12 Mei 2008, jam 2.15 petang. Majlis ini bertujuan untuk memastikan pencapaian berkualiti pelajar sekolah ini dalam STPM Tahun 2008, yang mana sepuluh pelajar terpilih akan terlibat hadir bersama-sama dengan ibu bapa/penjaga masing-masing bagi sesi pertama ini. Majlis permuafakatan ini akan diadakan berterusan bagi pelajar-pelajar lain untuk memastikan ibu bapa/penjaga pelajar sentiasa perihatin dengan pembelajaran dan persediaan anak masing-masing. Luahan hati ibu bapa/penjaga, pelajar, guru dan pengetua akan memberi impak demi kejayaan pelajar sekolah ini. Pencapaian semasa pelajar calon STPM sekolah ini akan dipaparkan secara telus untuk melihat di manakah kedudukan semasa mereka dalam pembelajaran. Semoga hasrat kelulusan 100% kelulusan STPM tahun ini tercapai, dan bilangan yang mendapat pointer 3.00 ke atas, dan lima principal akan bertambah.

PROGRAM SEPAGI ALA-ALA MAWI SMK LAJAU DAN SMK PANTAI

Satu Program Sepagi Ala-Ala Mawi, program memotong rambut murid SMK Lajau dan SMK Pantai akan diadakan di Dataran Gemilang, SMK Lajau pada 9 Mei 2008, jam 8.00 pagi. Majlis pelancaran ini adalah hasil persetujuan ibu bapa murid dalam Mesyuarat Agung PIBG baru-baru ini, yang mana murid lelaki kedua-dua sekolah akan sentiasa berambut nombor 3, bagi memastikan tahap disiplin yang tinggi dan kekemasan berambut pendek dalam kalangan murid lelaki.

Majlis pelancarannya akan dirasmikan oleh Yang Berbahagia Pengarah Pelajaran W.P Labuan, Encik Mohammad Zaki bin Mohd. Yusof, jam 8.30 pagi pada tarikh tersebut. Seramai 100 murid dari kedua-dua sekolah akan terlibat dalam majlis tersebut. Pengetua kedua-dua sekolah iaitu Encik Sahar bin Misron (Pengetua SMK Lajau) dan EncikYusup bin Mohamad (Pengetua SMK Pantai) dan Penolong Kanan HEM kedua-dua sekolah akan turut hadir.

Sunday, May 4, 2008

SMK Lajau Johan KRS Negeri

SMK Lajau menjadi johan pertandinga kawad formasi peringkat negeri yang dilangsungkan di dataran SMK Pantai semalam, 3 Mei 2008. Pasukan ini dijangka akan mewakili W.P Labuan ke peringkat kebangsaan nanti.
SMK Lajau juga menjadi johan dalam pertandingan bagi Kadet Polis yang dilangsungkan di SMK Mutiara hari ini, bagi kategori lasak lelaki, di samping tempat ke-3 bagi kategori lain.
Dalam pertandingan kadet bomba pula SMK Lajau juga mendapat naib johan, dan dua tempat ke-3 peringkat negeri yang berlangsung di SM Sains Labuan.
Pengetua SMK Lajau hadir dalam ketiga-tiga majlis tersebut yang dirasmikan oleh Yang Berbahagia Pengarah Pelajaran W.P Labuan dan Ketua Sektor SPPK Jabatan Pelajaran Negeri.
Tahniah SMK LAJAU!

Saturday, May 3, 2008

Perhimpunan Bulan April SMK Lajau 29 April Ditangguh

Perhimpunan Bulan April SMK Lajau ditangguh kerana penceramah khas dari BPR Labuan tidak dapat hadir, beliau ialah Encik Ramzi, yang kehilangan ibunya yang meninggal dunia sehari sebelumnya, AlFatihah kepada ibu beliau, moga dicucuri Rahmat-Nya, Perhimpunan bulan Mei akan diaturkan kemudian.