Friday, October 30, 2009

PELANCARAN MEMBACA 1 MALAYSIA SMK LAJAU

Pelancaran Membaca 1 Malaysia SMK Lajau diadakan di Dataran Gemilang pagi semalam dengan pelbagai acara yang dirancang selama seminggu untuk menggalakkan budaya membaca dalam kalangan warga sekolah ini. Perasmian pelancarannya oleh pengetua SMK Lajau, Sahar Misron dan dihadiri seluruh warga SMK Lajau. dengan gimik pelancaran paparan banner Membaca 1 Malaysia. Majlis pelancarannya diadakan serentak seluruh negara.

MESYUARAT JK KURIKULUM SMK LAJAU BIL. 4/2009

Mesyuarat JK Kurikulum SMK Lajau telah diadakan pada petang semalam di Bilik Semarak dipengerusikan pengetua SMK Lajau, dan dihadiri PK, GKMP. ketua-ketua panitia, penyelaras bestari, guru media, dan guru SPBT. Agendanya tentang status semasa kurikulum dan perancangan tahun hadapan.

PENGETUA SMK LAJAU BERKURSUS BINA INSAN ISLAM HADARI DI KOTA KINABALU

Pengetua SMK Lajau menghadiri Kursus Bina Insan Islam Hadari di Hotel Tang Dynasty Kota Kinabalu 27-29 Oktober 2009 bersama-sama 51 orang pengetua dari Sabah dan Labuan. Kursus disampaikan oleh penceramah hebat dari JAKIM dan Jabatan Agama Johor. Kursus ini anjuran Bahagian Pengurusan Sumber Manusia, KPM diketuai oleh Ustazah Rabihah. Kursus ini amat berguna untuk memantapkan jati diri insan, dan kursus seumpama ini telah diikuti oleh KSN sendiri dan ketua-ketua Jabatan pelbagai jabatan seluruh negara, pengisian kursus termasuk Qiamulail, ceramah, LDK dan riadah, serta Wasiat Iman dan Aku Janji/Pelan Tindakan.

Friday, October 23, 2009

SMK LAJAU PENGELOLA KUIZ PELANCONGAN PERINGKAT NEGERI

SMK LAJAU DIBERI KEPERCAYAAN mengelolakan Kuiz Pelancongan Peringkat Negeri di Hotel Tiara, esok 24 Oktober 2009. Kuiz anjuran Majlis Tindakan Pelancongan Labuan dengan kerjasama Jabatan Pelajaran Labuan akan dirasmikan penutupannya oleh Datuk TKSU Kementerian Pelancongan. Dijangka hadir esok Pengurus MTPL Puan Maznah Ag Damit dan Pengetua SMK Lajau, Sahar Misron. Persiapan dilakukan petang ini 23 Oktober. Terima kasih kepada guru yang terlibat membuat persiapan rasmi. Jumpa esok, 5 sekolah akan bertanding.... SMK Lajau berkecuali untuk memberi peluang sekolah lain pula mengecapi kemenangan...

SMK LAJAU NO. 3 PERTANDINGAN LAGU PATRIOTIK JABATAN PERPADUAN DAN INTEGRASI NASIONAL

Anak-anak murid SMK Lajau mencipta satu lagi kejayaan kecil dalam Pertandingan Lagu Patriotik Anjuran Jabatan Perpaduan Nasional yang dilangsungkan di Taman Budaya Pantai Damai semalam 22 Oktober 2009. Dalam kesibukan warga SMK lajau menyambut kedatangan Angkasawan Negara, pada masa sama sekumpulan pelajar dibimbing Cikgu Maimon Abd Rahman berjuang habis-habisan, akhirnya membuahkan kejayaan manis dengan menggondol hadiah RM600.00, di belakang SMK Labuan dan SM St Anthony. TAHNIAH ANAK-ANAK MURID DAN GURU PEMBIMBINGNYA....YANG TURUT DIIRINGI CIKGU MATSANI... TERIMA KASIH DAN TAHNIAH..Pengetua dan warga SMK lajau amat berbangga dengan kejayaan kalian.

Thursday, October 22, 2009

ANGKASAWAN NEGARA MELAWAT LABUAN DAN MELAWAT SMK LAJAU

ANGKASAWAN NEGARA, Y. BHG DATO' SHEIKH MUZAPHAR SYUKOR SHEIKH MUSTAPHA MELAWAT SMK LAJAU 22 OKTOBER 2009 JAM 3.00 PETANG SELAMA HAMPIR 20 MINIT BERAMAH-TAMAH DAN BERGAMBAR DENGAN WARGA SMK LAJAU.ANGKASAWAN NEGARA MEMUJI WARGA MURID DAN GURU/STAF SEKOLAH INI YANG MENERIMA KEHADIRANNYA DENGAN PENUH MESRA DAN TERANCANG, DENGAN BANNER MENYAMBUT KEHADIRANNYA YANG DAPAT DISIAPKAN SECARA CETAKAN CANTIK SEPARUH MALAM SAHAJA, TERIMA KASIH KEPADA CIKGU WINNIE DAN KELUARGA..TIGA SEKOLAH LAIN YANG TURUT BERNASIB BAIK IALAH SMK PANTAI, SMK LABUAN DAN SMK SAINS LABUAN. SEBELAH PAGI BELIAU BERADA DI UJANA KEWANGAN BERSAMA WARGA PENDIDIKAN LABUAN






Pengetua bersama Angkasawan Negara di Balai Berlepas Lapangan Terbang Labuan


Gambar di sekolah akan menyusul

Wednesday, October 21, 2009

Hari ini 21 Oktober 2009, hari bersejarah Pengetua SMK Lajau dan warga pendidikan Labuan kerana ANGKASAWAN NEGARA, Dato' Sheikh Muzaphar datang ke sini, petang tadi di JPN Labuan, sempat bergambar dengan ALK Koperasi Pelajaran W.P Labuan Berhad, dan di sebelah malam pengetua bersama anak-anak turut berada di Restoran Terumbu Warisan, Labuan, dengan Pengarah dan pegawai JPN Labuan menanti kedatangan Angkasawan Negara bersama rombongan CEO ACMS Pulau Pinang. Sebahagian gambar yang sempat dirakamkan

GAMBAR KENANGAN KAMI ABADIKAN SEPANJANG HAYAT...













Tuesday, October 20, 2009

4 RUKUN PEMBAHARUAN TPM/MENTERI PELAJARAN

EMPAT RUKUN:
KESATUAN MINDA,
KESATUAN HATI,
KESATUAN AMAL,
KESATUAN MATLAMAT

Monday, October 19, 2009

SMK LAJAU JOHAN MS POWERPOINT UMS KAL

SMK LAJAU JOHAN MSPOWERPOINT DI UNIVERSITI Malaysia Sabah, KAMPUS ANTARABANGSA Labuan. Maklumat disampaikan oleh Cikgu Norsiah Nasip dalam smsnya kepada pengetua yang sedang menghadiri Wacana Pendidikan di Kota Kinabalu. 20 Oktober 2009,1215 tengah hari. Tahniah kepada Cikgu Norsiah yang menjadi guru pengiring dan pelajar yang mencipta kejayaan FARETH RUDY, NURUL NURFADILA, DAN DIYANA DARI PROGRAM PRAU3. Sesungguhnya kalian BOLEH! Seluruh warga SMK Lajau mengucapkan tahniah kepada guru dan pelajar dan menaikkan nama SMK Lajau.

KETUA SEKTOR, PENGETUA DAN GURU BESAR DI KOTA KINABAALU

Ketua Sektor JPN, pengetua serta guru besar seluruh Labuan sekarang berada di Kota Kinabalu menghadiri Program Pembentangan Wacana Pendidikan, yang merupakan perkongsian pendidikan dari 19-21 Oktober 2009. Beberapa kertas pembentangan seperti Sekolah Berprestasi Tinggi (KS SJK), KPI, NKRA/Nkongsikan,KPI (Pengarah), Pemantapan Kokum (KS SPK), serta Kajian Tindakan Ustazah Dalilah Kaedah Belajar Jawi dikongsikan, amat berguna kepada warga sekolah. Perkongsian dalaman peringkat SMK Lajau akan dibuat oleh Pengetua sekembalinya dari Labuan. Hari ini pembentangan diteruskan lagi...Para peserta memberi tumpuan sepenuhnya dan banyak perbincangan penambahbaikan...

SELAMAT HARI ULANG TAHUN KELAHIRAN PENGARAH PELAJARAN W. P LABUAN

Warga SMK Lajau, Labuan mengucapkan SELAMAT HARI ULANG TAHUN KELAHIRAN ke-57 kepada Yg. Bhg Pengarah Pelajaran W.P Labuan, En. Mohammad Zaki bin Mohd. Yusof A.M.N, SEMOGA MURAH REZEKI, DIPANJANGKAN USIA, DIBERKATI ILAHI, GEMBIRA SELALU. Semoga dapat meneruskan usaha cemerlang menaburkan jasa bakti dalam dunia pendidikan di negara ini, khususnya di Labuan. Tahniah atas usaha tuan yang menjana kecemerlangan pendidikan di wilayah ini serta tidak pernah jemu "mencabar" kami.....


PERJALANANMU MENYUSUR PENGALAMAN
(dedikasi Mohammad Zaki bin Mohd Yusof A.M.N - ulang tahun kelahiranmu)
menyusur perjalanan pengalaman usia
di lebuh raya kehidupan selingkar kisah
yang sarat cabaran pada pergolakan akal budi dan ruang masa
menjengah dinihari detik usia ke-57
sambutan sederhana para sahabat di sebuah hotel di tengah bandar raya
demi tugas dan tanggungjawab
bersama menerajui perjalanan pencapaian
visi pendidikan menggalas agenda besar negara.

perjalanan dalam senyum ramah tamahmu
senang bicara dengan sesiapa tersinar mesramu
kasih sayang bak bapa teladan
menyimpan amarah di sebalik wajah
tenangmu pada pujuk tegas keberanian telus mengelus halus
mengajak seluruh warga wilayah menunjuk jalan ke hadapan terus.

menuju mercu pada kesantunan bahasa
dan tutur kata setulus budi
teruskan perjalanan pengalamanmu
menerajui kami sepulau sekasih ini
mengutip butiran madu kebijakasanaan
bahasa tubuhmu menyimpan selongkar rahsia
khazanah ilmu tidak lokek untuk dikongsikan.

penuh semangat tekad azam-berazam
kami belajar menghimpun makna persahabatan.



SAMSA HARRIS
20 Oktober 2009
Hotel Imperial International,
Kota Kinabalu.

Friday, October 16, 2009

SELINGKAR KISAH KEHIDUPAN

UNTUK RENUNGAN BERSAMA

Penghijrahan Malek Noor

(UNTUK RENUNGAN WARGA SMK LAJAU)

Oleh MUZLINA ABU BAKAR
muzlina.bakar@ utusan.com. my

SETELAH lebih 10 tahun tidak berjumpa dengan Malek Noor, 53, ternyata jaguh bina badan Asia peringkat heavyweight sebanyak enam kali ini amat berbeza daripada dulu.

Kalau dulu, apabila berjumpa mulutnya becok tak henti-henti bercakap pelbagai topik yang melucukan. Tetapi pertemuan minggu lalu menampakkan sisi lain Malek.

Sifat lucu dan becoknya hilang tiba-tiba dan yang nyata Malek hari ini tidak sama dengan Malek ketika baru berlakon filem Ujang pada akhir tahun 1980-an.

Perbualan petang itu berkisar tentang aktivitinya hari ini. Selain menjalankan perniagaan membekal barangan fitness di bawah syarikatnya Sportec's Divemate Sdn. Bhd. Malek juga berlakon dan kini sedang menjalani penggambaran drama Damak dengan memegang watak Tok Guru.

Perbualan yang rancak petang itu, tiba-tiba menjadi hening seketika apabila Malek membuka rahsia hidupnya yang selama ini dipendam tanpa pengetahuan sesiapa.

"Dalam hidup saya hari ini, sebenarnya saya hanya mencari satu sahaja iaitu keredaan Allah. Walau apa juga yang saya lakukan untuk hidup, kejujuran adalah penting.

"Setiap waktu dan ketika saya sentiasa berdoa kepada Allah semoga menerima ibadat saya, ampunkan dosa saya dan semoga Allah tetapkan iman saya dan menjadikan saya manusia yang soleh," kata Malek dengan suara sebak.

Siapa sangka, seorang jaguh bina badan yang nampak gagah dan perkasa tiba-tiba menjadi seorang yang boleh dikatakan 'lembik' tiba-tiba.

Di satu sudut ruang coffee house di sebuah hotel di pinggir kota, Malek yang mulanya bersemangat tiba-tiba menangis menceritakan dosa-dosa yang telah dilakukan sebelum ini.

Dengan suara sebak dan mata berkaca, Malek Noor bercerita:

"Saya terlalu banyak buat dosa. Saya betul-betul insaf sekarang. Setiap saat dan ketika sentiasa berdoa semoga Allah mengampunkan dosa-dosa saya.

"Dulu saya jahat. Saya tidak ingat mati tapi...kini saya betul-betul insaf. Kini setiap waktu walau sesibuk mana pun saya akan hadkan sekurang-kurangya 10 minit untuk menunaikan solat.

"Saya terlalu banyak buat dosa. Saya makan dan minum benda-benda haram. Ya Allah betapa besarnya dosa saya. Saya takut, saya taubat dan saya menyesal.

"Andai waktu boleh berputar, saya ingin kembali zaman kanak-kanak. menjalankan kewajipan sebagai seorang Muslim yang sejati," luahnya.

Zaman kanak-kanak

Mungkin ramai yang tidak tahu, ketika zaman kanak-kanak lagi Malek merupakan anak yang susah hendak berpuasa. Kalau berpuasa pun cuma di depan keluarga. Di belakang, Malek curi-curi makan dan minum. Tetapi itu di zaman kanak-kanak, apa yang dibuat mungkin manis didengar.

Bukan itu sahaja, malah sejak berusia 12 tahun dan sehingga umur meningkat 46 tahun, sebenarnya Malek tidak pernah berpuasa, apa lagi menunaikan solat lima waktu sehari.

"Saya lupa pada tanggungjawab sebagai seorang Muslim. Saya tak sembahyang, saya tak berpuasa. Kesibukan saya merantau di Amerika dan Hong Kong selama lebih 30 tahun mengumpul harta kekayaan membuatkan saya lalai.

"Ya Allah betapa besarnya dosa saya. Saya tidak pernah mensyukuri nikmat yang Allah berikan. Apa yang ada dalam fikiran saya hanya mencari harta dan nama.

"Sehinggalah suatu hari pada tahun 2002 semuanya berlaku tanpa saya duga. Ketika itu saya dengan berseluar pendek berdiri di Penthouse saya berdepan dengan bangunan KLCC.

"Tiba-tiba saya terdengar azan sayup dari masjid berhampiran dan meresap ke jiwa saya. Saat itu saya jadi tak tentu arah. Saya masuk ke rumah dan berpusing-pusing entah berapa kali dan saya tak tahu apa yang saya cari.

"Selepas berpusing-pusing macam orang gila, satu jam saya tak bertenaga. Saya menangis dan terus menangis. Tiba-tiba saya teringat sesuatu dan terus berwuduk kemudian menunaikan solat Maghrib. Esoknya saya ke Jalan Masjid India dan membeli pelbagai kitab mengenai Islam dan saya turut membeli sebuah al-Quran," cerita Malek.

Bagi Malek, walaupun keinsafan dan kesedaran itu datang ketika usianya 46 tahun, dia tetap bersyukur kerana tahu Allah masih sayangkannya. "Malam selepas saya bersolat taubat, saya bermimpi didatangi arwah ibu, Jariah Ahmad yang menaburkan bunga emas pada saya.

"Selepas peristiwa itu saya pergi semula ke Hong Kong tetapi bukan untuk menetap di sana. Sebaliknya saya uruskan pemindahan syer perniagaan KK Design dengan rakan kongsi sebab saya memang tidak mahu menetap di sana.

"Ketika itu saya sudah membuat keputusan, saya mahu menetap di Malaysia untuk mencari seorang Muslim yang soleh. Bukan itu sahaja, malah saya mahu menjejaki akar umbi budaya Melayu yang telah lama saya lupakan.

"Setelah semuanya selesai, sejak 2006 saya terus menetap di KL dan tidak lagi ke Hong Kong. Kini saya benar-benar merasakan hidup ini amat bahagia dan tenang.

"Dalam kotak fikiran saya, hanya mahu melakukan suruhan Allah dan berbakti kepada masyarakat. Saya tidak sanggup lagi hidup bergelumang dosa dan noda.

"Cukuplah apa yang saya dah lakukan selama ini. Saya benar-benar insaf. Sejak itulah semua piala yang saya menang sebagai Mr. Asia saya buang.

"Dulu rumah saya penuh dengan patung-patung, tapi...semua saya dah buang. Kini rumah saya hanya dihiasi ayat-ayat suci al-Quran.

"Saya amat bersyukur kepada Allah kerana sejak saya bertaubat, sudah tiga kali saya khatam membaca al-Quran. Bukan itu sahaja, malah sejak tahun 2006 saya sudah menunaikan puasa enam, syukur Alhamdulillah," kata Malek.

Kini kata Malek, walau apapun yang dilakukan oleh kawan-kawannya beliau tetap bersabar. Malah ada kawan yang meminjam duitnya dalam jumlah yang begitu banyak dan tidak mahu membayar semula, dia tidak pedulikan semua itu.

"Sekarang saya benar-benar reda dengan apa yang berlaku. Sama ada dia mahu bayar atau tidak, saya halalkan kerana bagi saya semua itu hanya harta dunia.

"Kini hidup saya mencari keredaan Allah. Insya-Allah saya akan tunaikan umrah tidak lama lagi dan jika diizinkan saya juga mahu menunaikan haji tahun ini," Malek menyambung cerita.

Menurut Malek, semua yang dilakukan kerana sedar Allah benar-benar sayangkannya dan menerima taubatnya.

Bukan itu sahaja, malah mimpi berjumpa arwah ibunya yang memimpinnya masuk ke Masjidil Haram dan terus sampai di depan Kaabah benar-benar menggamit hati dan nalurinya untuk ke sana.

"Selepas saya menunaikan rukun Islam yang kelima, jika ada jodoh saya mahu berumah tangga dan membina keluarga bahagia yang hidup berlandaskan Islam.

"Penghijrahan saya ini bukan sahaja memberi kesan kepada saya, malah adik beradik yang lain juga gembira. Sebab itu saya nasihatkan anak-anak saudara saya kalau buat jahat pun biarlah ada ruang untuk kita bertaubat di hati ini," kata Malek yang juga pernah membintangi filem Juara, Rimba Malam, Kelisa, Pendekar Mata Satu dan yang terakhir Sahabat pada tahun 1999.

PETIKAN AKHBAR UTUSAN MALAYSIA

PROGRAM RIMUP(RANCANGAN INTEGRASI MURID UNTUK PERPADUAN) DAN SAMBUTAN RAMAH MESRA AIDIL FITRI SMK LAJAU MERIAH

Pagi ini 16 Oktober, Program RIMUP dan Sambutan Ramah Mesra Aidil Fitri SMK Lajau berjalan dengan meriah. Terima kasih kepada Y.Bhg Pengarah Pelajaran Labuan, En. Mohammad Zaki bin Mohd Yusof, A.M.N yang sudi hadir dan merasmikan majlis. Selepas perasmian Pengarah diiringi tetamu jemputan yang terdiri AJK PIBG, Ketua-ketua Jabatan Kerajaan, para pengetua, ketua kampung/wakil dan jemputan lain mengunjungi tujuh 8 gerai mengikut tingkatan, juga Program Pendidikan Khas sambil menjamah makanan yang ada sebelum ke meja utama. Banyak makanan hari ini, semua merasa, ada "tapau" lagi...Kepada seluruh warga SMK Lajau pengetua merakamkan ucapan penghargaan dan terima kasih kerana berhempas-pulas membuat persiapan, kelemahan kita tambah baik untuk tahun hadapan. Lagipun pengetua terpaksa meninggalkan Seminar Penyelidikan di Grand Dorsett" bersama-sama rakan warga SMK Lajau. Gambar-gambar akan menyusul nanti...Kepada tetamu jemputan kita rakamkan penghargaan kerana hadir...
GAMBAR-GAMBAR RIMUP SMK LAJAU






Tuesday, October 13, 2009

PESERTA PERTANDINGAN KUIZ PENGGUNA KPDN PERINGKAT KEBANGSAAN SMK LAJAU NAIB JOHAN BAHAS

Empat peserta Pertandingan Kuiz Pengguna KPDN Peringkat Kebangsaan memenangi Naib Johan bahas yang diadakan sebagai acara sampingan. Empat peserta ialah Rohayu Osman, Nurul Aziyanah Yahya, Nur Adreena Adam, dan Suhainah Md Arapan, tahniah kepada mereka, tahniah dan terima kasih juga kepada guru pembimbing Cg Habibah. Ini adalah kemenangan manis sekolah ini di peringkat kebangsaan. Walaupun dalam pertandingan Kuiz Pengguna kita hanya menerima sagu hati, semangat juang mereka tidak pernah luntur menaikkan nama sekolah di Hotel Tower Regency, jangan lupa catatkan dalam Buku Kejayaan Sekolah...

Monday, October 12, 2009

HARI TERAKHIR PMR:: PERJUANGAN BELUM BERAKHIR

Pengetua dan warga SMK Lajau mengambil kesempatan mengucapkan selamat berjuang kepada 95 calon PMR sekolah ini bagi Tahun 2009, Jawablah semua soalan Kemahiran Hidup dengan setulus doa kami,lulus cemerlang, lulus lulus, mudah-mudahan tiada yang gagal. Selesai kertas KH, perjuangan belum selesai, sama-sama tawakal dengan doa, semoga semua sukses! Kepada calon PMR seluruh Labuan, dan Malaysia juga teruskan perjuangan belum selesai ini....Tiada yang mustahil untuk lulus PMR, ya tak? Yang penting sama-sama berusaha memartabatkan pendidikan negara tersayang Malaysia ini!

PROGRAM RIMUP(RANCANGAN INTEGRASI MURID UNTUK PERPADUAN) DAN SAMBUTAN RAMAH MESRA AIDIL FITRI

SMK Lajau akan mengadakan Program RIMUP dan Majlis Ramah Mesra Aidil Fitri 2009 di dataran Gemilang SMK Lajau pada 16 Oktober 2009. Selain warga SMK Lajau yang akan hadir, pihak kami juga menjemput 20 murid SMK Pantai dan 20 murid SMK Teknik bersama-sama hadir selain JK PIBG,pengetua-pengetua, guru-guru besar serta ketua-ketua kampung jiran sekolah, juga ketua-ketua Jabatan dan agensi lain. Majlis dijangka akan dirasmikan oleh Pengarah Pelajaran W.P Labuan, En. Mohammad Zaki bin Mohd Yusof, AMN jam 9.00 pagi

Datanglah beramai-ramai ke Dataran Gemilang, SMK Lajau JUMAAT ini. Kehadiran anda memeriahkan lagi majlis kami....

KIOSK INTERNET PEMBELAJARAN (TERBUKA) DI SMK LAJAU

Kiosk Internet Pembelajaran wujud di SMK Lajau sejak awal bulan Oktober ini, tercapai hasrat pengetua dan warga sekolah untuk warga sekolah dan pelawat melayari internet secara percuma dengan konsep terbuka. Idea ini tercetus pada Tahun 2007 apabila pengetua bersama beberapa orang guru berkesempatan menghadiri Seminar ICT di PWTC. Syukur tiada masalah capaian lagi di SMK Lajau sekarang.Terima kasih pihak KPM di Putrajaya. Tahniah kepada guru ICT, Cikgu Mohd. Firlii dan Juruteknik En. Imran yang merealisasikan impian ICT warga sekolah. Kiosk ini terletak di Laluan ICT di Tingkat 1 Blok B (berhampiran Pejabat Sekolah) Kiosk ini beroperasi 24 jam sehari, pastikan pengguna mencatat nama, tarikh, dan masa untuk rekod pembudayaan ICT di sekolah ini. Pengguna di luar waktu pejabat perlu mencatat nama di Pondok Pengawal Keselamatan terlebih dahulu.

Adalah diharapkan pengguna boleh menggunakan kemudahan kiosk ini dengan cermat, dengan niat ikhlas untuk mendapatkan maklumat terkini daripada seluruh dunia, termasuk blog berunsur pembelajaran dengan capaian terkawal minimum, pastikan tidak melayari laman negatif atau bermain "games" Awas ada "CCTV" supaya tiada "vandalisme" Semua murid, guru, staf sokongan, staf swasta, para ibu bapa/penjaga pelajar,ahli ALUMNI sekolah, bekas pelajar, pelawat,belia sekitar, anggota masyarakat sekitar boleh menggunakan kemudahan percuma ini.

PMR HARI INI:: MATEMATIK DAN SEJARAH

PMR sudah hampir di penghujungnya, hari ini Matematik dan Sejarah pula. Semoga semua pelajar SMK Lajau calon PMR lulus 100%, kita doakan kejayaan mereka. Esok Kemahiran Hidup merupakan kertas terakhir yang akan mereka hadapi, moga malam ini dapatlah buat rujukan untuk menjawab kertas ini pagi esok, selamat berjuang!

Thursday, October 8, 2009

BERKONGSI PENGALAMAN DENGAN PELAJAR PROGRAM PRAU SMK LAJAU

Pagi ini Pengetua mengisi masa hampir tiga jam berkongsi pengalaman dengan pelajar Program PraU SMK Lajau, di samping memberi motivasi serta tips untuk berjaya, dengan sasaran satu ke UNIVERSITI! Kena pandai pilih subjek untuk didaftar Tahun 2009, pastikan selari dengan syarat kemasukan ke univarsiti, yang membanggakan ada empat pelajar lelaki yang ingin menjadi GURU!.. ada yang mensasarkan UPSI, bagus juga tu......Kan guru lelaki hampir "pupus" dalam bidang pendidikan...Ada dua pelajar lelaki yang berhasrat mengambil bidang seni di Akademi Seni Kebangsaan(ASK), pengetua sokong tu.... kalau semua nak jadi arkitek siapa pula pengamal seni nanti...seni ni pun banyak cabangnya...

Teruskan usaha kalian, warga SMK Lajau mendoakan kejayaan kalian.

HARI KETIGA PMR

Jumaat, 9 Oktober 2009, hari ketiga PMR dihadapi oleh calon PMR SMK Lajau dan calon PMR seluruh negara. Mata pelajaran yang diuji ialah GEOGRAFI. Kami warga SMK Lajau serta ibu bapa mendoakan kejayaan kalian. Jawab elok-elok, jawab semua soalan, hati-hati tengok peta dan simbol serta tafsir dengan betul, mudah-mudahan dapat menjawab dengan tenang. JANGAN LUPA BAWA KAD PENGENALAN DAN SLIP PEPERIKSAAN!Selepas itu gunakan dua hari Sabtu dan Ahad untuk ulang kaji subjek yang belum diuji..... bukan beraya sakan, yang lelaki usah MEREMPET, BURUKM PADAHNYA!Kita tidak mahu ada calon hospital. Ustaz Zahari, macam biasa jangan lupa periksa suhu calon PMR, yang lebih 37.8 Celcius asingkan bilik.

Wednesday, October 7, 2009

HARI KEDUA PMR

Hari ini, hari kedua PMR berlangsung. Hari ini kertas BAHASA INGGERIS DAN SAINS. Kepada semua murid calon PMR SMK Lajau, jangan lupa datang awal ke sekolah, mohon restu dulu daripada ibu bapa/penjaga/ahli keluarga, di sekolah mohon restu daripada guru/staf SMK Lajau. Kalau ada salah silap mohon dimaafkan, dihalalkan ilmunya. SEMOGA BERJAYA ANAK-ANAK SEMELA TERSAYANG.

HARI PERTAMA PMR

Hari ini, 7 Oktober merupakan hari pertama PMR diadakan. Pagi ini Pengetua SMK Lajau, Sahar Misron, serta PK HEM, Siti Zubaidah Salleh, Cg Nurul Nazihah, Ustaz Zahari sempat merestui bersalaman dengan calon PMR SMK Lajau seramai 95 orang. Di dalam Dewan Mini mereka memulakan berdoa beramai-ramai sebelum memulakan perjuangan mereka. Pada awal pagi tiga bapa murid berjumpa pengetua mengambil slip peperiksaan anak mereka kerana anak-anak ini seringkali tidak hadir penuh dalam peperiksaan dalaman sekolah. Mereka berjanji di hadapan pengetua dan bapa mereka untuk menjawab dengan bersungguh-sungguh kertas PMR yang akan dihadapi. Kita doakan kejayaan mereka, 100% lulus PMR bukan mustahil, target 12 straight A juga bukan impian di siang hari....Sesungguhnya anak-anak SMK Lajau BOLEH!


Selepas itu, pengetua bergegas pula ke UK untuk Bengkel kajian Tindakan dan Mesyuarat Hari Kualiti di JPN Labuan pada sebelah petang.

Tuesday, October 6, 2009

SELAMAT BERJUANG CALON PMR TERSAYANG SMK LAJAU

SELAMAT BERJUANG CALON TERSAYANG PMR SMK LAJAU. Pagi ini bermula perjuangan 95 calon PMR sekolah ini dengan kertas Bahasa Melayu dan Pendidikan Islam. Jangan lupa datang awal ke sekolah, sarapan pagi disediakan, juga makan tengah hari nanti. Mohon restu ibu bapa/penjaga serta guru sebelum ke sekolah dan sebelum ke Dewan Mini. Seluruh warga SEMELA mendoakan kejayaan kalian.

Friday, October 2, 2009

MAJLIS SOLAT HAJAT PMR/SPM/STPM SMK LAJAU dan JUADAH MAKAN MALAM AYAM KAMPUNG FRANCE

Majlis Solat Hajat PMR/SPM/STPM diadakan di Galeri Warisan SMK Lajau malam tadi dengan dihadiri lebih 250 ibu bapa, murid. guru dan staf serta ketua-ketua kampung jiran. Majlis dimulakan dengan solat Maghrib, diikuti bacaan yassin, amanat pengetua, amanat Pengarah Pelajaran Labuan En. Mohammad Zaki bin Mohd Yusof, seterusnya solat Isyak serta solat Hajat. Selepas itu para jemputan dan murid menikmati jamuan makan malam, yang mana mereka menikmati hidangan ayam kari dan ayam goreng yang dipelihara oleh sekolah, juga sebelah pagi semalam ayam disembelih sendiri oleh guru-guru, serta dimasak sendiri oleh "pakar-pakar masak" SMK Lajau yang diketuai oleh Cikgu Kartini Awi. Terima kasih kepada Pengarah dan pegawai/kakitangan Jabatan Haiwan yang memberikan anak-anak ayam itu dan memantau projek ini, kalau ada ruang bolehlah disambung lagi kan....tinggal 7 ekor untuk baka, sudah bertelur pun...Tak tahu ayam ni pandai mengeram atau tidak. Kita cuba minta tolong Cikgu Rayini campurkan dengan ayam kampungnya, lepas itu hantar anak-anak ayam tu untuk kesinambungan. Sayangnya Pengarah Jabatan Haiwan tidak dapaat hadir malam ini kerana kesibukan beliau. Terima kasih tuan daripada warga SMK Lajau...

Hujan lebat yang turun di pertengahan majlis merupakan "hujan rahmat" yang menjadikan majlis malam tadi, sepatah kata Pengarah Pelajaran " meriah" kerana semua yang hadir berhimpun di kantin sekolah sambil menikmati juadah makan malam, dan hanya beredar apabila hujan mulai reda.(mana boleh balik cepat hujan bah). Terima kasih Allah yang menurunkan "hujan rahmat" malam tadi. Semoga keberkatannya turun pula kepada calon PMR/SPM/STPM SEMELA, target kuantiti 100% moga tercapai, juga kualiti "semua A" 10,5, 5, mudah-mudahan.

Setinggi penghargaan kepada tuan Pengarah Pelajaran yang hadir, juga kepada Ketua Sektor Jaminan Kualiti JPN Labuan, Cik Kaziyati Osman, ibu bapa, ketua-ketua kampung, ALUMNI sekolah, calon PMR/SPm/STPM serta warga guru dan staf SMK Lajau yang mengendalikan majlis dengan sempurna. Semoga "teamwork" seumpama ini kita teruskan demi anak-anak SEMELA tercinta.

Sama-sama kita doakan anak-anak didik kita beroleh kejayaan cemerlang dalam PMR, SPM dan STPM, mudah-mudahan doa kita diterima Ilahi. Kepada anak-anak SEMELA teruskan perjuangan bagi meletakkan sekolah kita sebaris dengan sekolah-sekolah lain di wilayah ini.