Monday, November 30, 2009

PENGETUA SMK LAJAU MENGHADIRI PERSIDANGAN TINGKATAN 6 DI SUMMIT HOTEL SUBANG JAYA

Pengetua SMK Lajau menghadiri Persidangan Tingkatan 6 di Hotel Summit bersama-sama Cikgu Felecia E. Jainol serta guru dari SMK Labuan Puan Noritah@Noraini bt Madina, juga pegawai Sektor Akademik JPN Labuan En. Nuzie. Persidangan berlangsung dari 30 November hingga 3 Disember 2009. Pengetua SMK Lajau bertemu dengan sahabat-sahabat lama seperti rakannya semasa belajar di USM, Sdr Asris. Ali, Sdr Jawahir, Pengetua SMK Raja Abdullah Kuala Lumpur serta sahabat karibnya Sdr. Selamon Kosrin, sahabatnya semasa belajar di Tingkatan 6 di SM Dato' Seri Amar Diraja Muar pada tahun 1977/78 dulu, yang kini bertugas di Bahagian Sekolah Harian, KPM, juga Sdr Jamal, sama-sama di KPM dulu, sekarang di BSH, KPM.

Semoga persidangan ini memberi manfaat kepada warga SMK Lajau. Kepada pelajar STPM SMK Lajau diucapkan selamat menduduki STPM, semoga cemerlang.
Dicatat oleh SMK LAJAU, W.P Labuan di 15:55

Thursday, November 26, 2009

SELAMAT MENYAMBUT HARI RAYA AIDIL ADHA

SELAMAT MENYAMBUT HARI RAYA AIDIL ADHA kepada warga SMK Lajau, W.P Labuan dan seluruh umat Islam di seluruh pelosok dunia.

Daripada Pengetua dan warga SMK Lajau

KENANGAN KEMBALI KE PULAU IMPIAN

Sudah bertahun aku mengabdikan diri kepada kapal Durian Tunjung, sebuah kapal perdagangan milik rakyat tempatan. Sebuah kapal dagang yang telah menyusur lautan dan teluk seluruh pelosok dan ceruk dunia, lautan mana yang tidak diredah, telukan mana yang belum dituju, pelabuhan mana yang tidak disinggahi. Aku bukanlah kapten kapal Durian Tunjung, aku bukanlah kelasi kapal, aku hanya seorang jurukimpal kapal ini. Sudah bertahun aku lakukan kerja ini, aku sudah masak benar dengan setiap sudut dan perut kapal. Kerjaku tidaklah sesusah mana, kadangkala hampir seminggu aku duduk makan tidur sahaja, bukan banyak yang hendak dikimpal, kalau adapun anak buahku boleh menyelesaikannya, tidak perlu pun merujuk kalau perkara kecil.

Petang ini kami akan berlabuh di Pelabuhan Changi, Singapura. Rasanya tidak jauh daripada Pulau Impian, pulau tempat kelahiranku yang kutinggalkan hampir setahun lalu kerana kapal kesayangan kami Durian Tunjung ini belayar jauh ke pelabuhan-pelabuhan di Eropah. Serasa ternampak-nampak Pulau Impian, pulau kesayangan kami. Seronoknya nanti kami akan kembali ke Pulau Impian. Pulau Impian yang melahirkan aku, Pulau Impian yang membesarkan aku, Pulau Impian yang menjadi guru kehidupanku.Aku sangat menyayangi pulauku ini, pulau yang menzahirkan makna kehidupanku di alam penuh cabaran ini.

Terbayang zaman aku semasa kecil di sebuah perkampungan nelayan yang dipanggil orang Arulajau. Betapa seronoknya aku bermain-main di pasir pantai bersama teman sebaya, mandi laut tak berbaju. Terbayang wajah ayah mencuka apabila aku pulang lewat senja, leteran ibu yang menjadi halwa telinga, mereka amat menyayangi aku. Maklumlah aku anak tunggal mereka. Siapa tidak sayangkan anak tunggalnya, akulah sahaja anak mereka, tidak dua tidak tiga. Aku tiada kakak, aku tiada abang, aku tiada adik. Kadangkala iri hati juga melihat kawan-kawanku yang mempunyai ramai adik-beradik, riuh-rendah suara mereka, sedangkan aku hanya berseorangan di rumah. Mungkin juga ada sedikit rasa kurang puas hati, semacam protes, menjadikan aku terlalu manja, malas melakukan perkara-perkara seperti membaca.

Terbayang zaman aku bersekolah di SK Arulajau, terbayang-bayang semasa bersekolah menengah di SMK Arulajau. Masih terdengar-dengar di telingaku ketika pengetua sekolah dengan tegas tetapi lembut menasihati kami supaya memilih jalan hidup yang betul, belajarlah bersungguh-sungguh untuk mengubah nasib keluarga, usah biarkan putaran kemiskinan membelenggu hidup kami. Ada benar pada kata pengetua berambut pendek yang berusia separuh abad ketika itu, kami sangat menghormatinya kerana ketegasannya mengawal kami, anak remaja yang sedang mencari identiti diri ketika itu. Marahnya pada tenungan matanya yang tajam yang amat kami geruni. Teringat aku ketika di Tingkatan 4, seharian aku "mengarang" di biliknya kerana gagal menyiapkan karangan yang diberikan oleh guru Bahasa Melayu kami. Aku anggap pelik betul perangai pengetua kami itu. Sehingga jam 5.00 petang aku "mengarang" di biliknya dengan tajuk yang ditetapkan bertajuk "Masa Depanku Bukan Kerana Untung Nasib", entah macam mana ideaku mengarang amat luar biasa hari itu, entah kerana takut, entah kerana terpaksa, entah kerana apa aku pun tidak pasti, yang pasti aku boleh menulis hampir habis sebuah buku latihan karanganku. Beliau selamba sahaja sambil membuat kerja-kerja di mejanya. Lewat petang, dengan suara tegas katanya, "Sudah, siapkan perenggan akhir, buat kesimpulan karangan kamu, saya beri masa lima minit, lepas itu tinggalkan buku kamu di atas meja saya, lepas itu ikut saya."

Aku menyiapkan perenggan akhir karanganku, masih kuingat apa yang kutulis, antaranya, "saya ingin menjadi manusia berguna yang tidak bergantung kepada untung nasib seperti sabut di tengah lautan, saya ingin berubah, saya mahu berhenti sekolah di SMK Arulajau, saya ingin masuk ke Pusat Giatmara, bukan kerana membenci cikgu-cikgu dan pengetua tetapi saya ingin belajar menjadi jurukimpal. Jumpa lagi tuan pengetua, restukan saya mencapai cita-cita ini." Selesai menulis karangan itu lalu dengan hormat aku letakkan di atas meja pengetua seperti yang dipesannya. Dalam hatiku tertanam azam untuk meninggalkan SMK Arulajau bukan kerana bencikan pengetua tetapi kerana ingin membuktikan hasrat hati, kerana aku teringat kata-kata pengetua dalam perhimpunan rasmi minggu sebelumnya, "Sesiapa yang tidak berminat belajar akademik di SMK Arulajau, dengan hormatnya pergilah bersekolah di Giatmara yang mengajar pelbagai kemahiran untuk hidup, saya akan sokong permohonan kamu!"

Petang itu aku dihantar ke rumah oleh pengetua dengan kereta barunya sebuah kereta jenama tempatan. Ingatkan aku kena menapak balik ke rumah. Beliau menghantar aku hingga ke rumahku. Sesampainya aku di rumah, babah dan mama menunggu dengan senyuman penuh makna, mereka mengucapkan terima kasih kepada pengetua kerana menghantar aku hingga ke rumah. Aku menyalami dan mencium tangan pengetua serta babah dan mama, minta izin naik ke rumah. Pengetua berbual-bual dengan kedua-dua orang tuaku. Dalam perbualan mereka, barulah aku tahu pengetua terlebih dahulu telah menelefon babah sebelum menahanku di biliknya. Dan yang paling mengejutkan aku apabila pengetua berkata, "Mulai esok Mat tak perlu bersekolah lagi di SMK Arulajau, kerana saya telah aturkan dengan pengurus Giatmara untuk Mat belajar di sana, dia sangat berminat dengan kerja-kerja kemahiran" Di atas rumah, aku seolah-olah ingin melonjak sampai ke siling rumah, lepaslah aku dari terpaksa belajar macam-macam mata pelajaran yang tidak pernah menarik minatku. Rasa nak peluk pengetua ketika itu. Aku sempat melambai-lambaikan tanganku dari tingkap ketika pengetua memandu kereta meninggalkan laman rumahku.

Ah!.... itu kenangan dua puluh tahun silam. Masih hidupkah pengetua yang berjaya mengubah untung nasibku menjadi pengimpal kapal. Tindakannya menjadi titik mula kehidupanku mengelilingi dunia walaupun lautan menjadi sebahagian daripada rumahku. Terima kasih pengetua, keikhlasanmu membuatkan aku sentiasa mengenangmu hingga kini. Kuharap dapat berjumpa denganmu, agar aku dapat memelukmu nanti. Pelabuhan Changi bukannya jauh sangat dengan Pulau Impian. Rasa rinduku makin membuak, pada Pulau Impian, tanah kelahiran, kepada babah dan mama yang lama tidak aku temui, kepada kawan-kawan yang lama kutinggalkan.

Walaupun menjadi pengimpal kapal tidaklah se"glamour" kapten kapal atau kelasi yang lain, tetapi cukup mengajarku pengalaman hidup yang amat berguna, tidak pernah menyangka aku akan belayar jauh ke serata dunia, hampir setiap pelabuhan di dunia telah aku kunjungi, berkat "mengarang" di bilik pengetua dulu. Berkat doa pengetua, berkat doa babah dan mama. Aku masih seperti dulu, anak Pulau Impian yang memegang prinsip hidup, tidak pernah aku melupakan asal-usul, tidak pernah aku tinggalkan solat meskipun ketika berada di tengah lautan. Dengan gaji yang boleh dikatakan agak lumayan, aku sentiasa ingat untuk mengirimkan kepada babah dan mama apabila singgah di mana-mana pelabuhan. RM15500.00, dengan makan tanggung, pakaian seragam disediakan, orang bujang seperti aku masih dapat menyimpan sebahagaian besar gajiku. Masih ingat ketika aku berlabuh di Pelabuhan Amsterdam, Belanda lima bulan lalu, aku membuat kiriman wang untuk Perpustakaan Arulajau sebanyak RM10,000.00. Bukan aku ingin berbangga dengan sedikit sumbanganku itu, setidak-tidaknya bolehlah pihak sekolah membeli buku-buku baru untuk pelajar-pelajarnya yang jumlahnya kini mencecah 1000 orang, hanya sedikit sumbanganku yang kurasa tidakpun setimpal dengan jasa warga guru dan pengetua yang mendidikku dengan makna sebenar kehidupan.

Aku masih teringat ketika babah dan mama yang kurang bersetuju apabila aku menyatakan ingin mengikuti pengajian di ILP dalam bidang kimpalan, kata mereka kerja itu sangat kasar dan berisiko, puas kupujuk mereka, susah benar untuk meyakinkan mereka. Akhirnya dengan bantuan pengetua SMK Alulajau, mereka akur dengan kehendakku, maklumlah aku anak tunggal babah dan mama. Aku begitu terhutang budi kepada pengetua itu. Begitu juga ketika aku ditawarkan mendalami bidang kimpalan di Korea dulu, jasa pengetua itu tidak dapat kubalas budi baiknya. Beliau telah memujuk babah dan mama untuk mengizinkan aku belajar di Korea, tiga bulan aku di Korea, sekembalinya aku ke Pulau Impian, satu lagi masalah timbul apabila aku memberitahu babah dan mama aku akan mengikuti pelayaran dengan Kapal Durian Tunjung sebagai pengimpal dalam latihan. Sekali lagi pengetua yang sudah menjadi sebahagian daripada hidupku meyakinkan babah dan mama aku belayar untuk mencari rezeki halal, dan dapat juga meluaskan pengalaman melihat negeri orang. Babah dan mama dengan berat hati melepaskan aku pergi dengan iringan doa dan pesan, "jaga diri baik-baik nak, jangan tinggalkan solat, jangan minum minuman keras dan berhati-hati dalam pergaulan, ingatlah babah dan mama jika ingin melakukan sesuatu yang tidak pasti." Begitu juga pesanan yang hampir serupa disampaikan oleh pengetua SMK Arulajau.

Pelabuhan Changi sudah terlalu hampir dengan Pulau Impian.Rinduku kepada Pulau Impian makin menebal, rinduku kepada babah dan mama makin mencengkam, rinduku kepada pengetua SMK Arulajau yang kini sudah bersara begitu menyengat. Masih hidupkah dia kerana sudah agak lama tidak menghubunginya, maklumlah dalam kesibukanku di perut Kapal Durian Tunjung, begitu lama aku tidak membuka e-mailku atau membuka blog peribadi bekas pengetua SMK Arulajau. Dulu blognya memang menjadi kegemarannku untuk membaca jalur fikiranya yang kutafsirkan amat luar biasa dan serasi dengan remaja sepertiku yang lebih suka melakukan pembelajaran menggunakan tangan atau tulang empat kerat, kurang menggunakan minda tetapi lebih suka akan kemahiran tangan, memang pantas tanganku bekerja mengimpal tetapi kalau disuruh membaca buku, memang aku paling malas, yalah buku sejarah ke buku sastera ke, buku geografi ke buku bahasa Inggeris ke, memang membosankan, sampai bila pun tak akan habis kubaca, aku lebih suka bercakap sambil tangan membuat kerja. Aku belajar bahasa Inggeris pun melalui pergaulanku dengan pelancong yang datang ke Pulau Impian, agak fasih juga aku bercakap Inggeris. Sekarang apa lagi lancar macam air kerana ramai pekerja Eropah yang tidak tahu berbahasa Melayu, tetapi kalau disuruh menulis memang aku tidak berapa mahir... Terima kasih pengetua "pelik" yang berjaya mendorongku belajar kemahiran di Giat Mara, seterusnya ke ILP dan aku berpeluang belajar di Korea dan berpeluang mengelilingi dunia dengan Kapal Durian Tunjung. Walaupun aku bukan tergolong pelajar pintar tetapi kerana motivasi yang diberikan oleh pengetua dan guru-guruku mendorong aku bertukar arah daripada susah-susah belajar bermacam-macam mata pelajaran kepada satu bidang kecil yang lebih berfokus, aku bangga dengan pekerjaanku sekarang kerana kemahiranku mengatasi kebolehan seorang jurutera kapal kerana aku melakukan sendiri kerja-kerja kimpalan itu sedangkan jurutera itu hanya tahu mengarah sahaja, buat itu buat ini.

Aku amat berterima kasih kepada guru-guruku, sahabat-sahabatku serta pengetua bermisai tebal itu yang telah memberikan aku semangat yang hebat hingga membolehkan aku menjadi seperti aku pada hari ini, yang berani bertarung di tengah Lautan Atlantik, Lautan Pasifik, Lautan Hindi, Lautan Andaman, apa lagi Lautan China Selatan atau Selat Sunda dan Selat Melaka. Pengalaman hidup ini akan aku kongsikan dengan rakan-rakan yang masih menetap di Pulau Impian, dengan pelbagai jenis pekerjaan itu. Kalau ada yang berminat menjadi jurukimpal macam aku akan aku tunjuk ajarinya sampai pandai atau lebih pandai daripadaku.

Tidak lama lagi kapal kami akan belayar lagi menuju Pulau Impian, pulau kesayanganku, pulau yang menjadi kampung halamanku sejak aku mengenal dunia lagi. Ah! Rindunya kepada Pulau Impian yang sentiasa bermukim dalam kotak fikiranku selama-lamanya. Kapal kami belayar menuju destinasi yang pasti.

Nampak berbalam-balam Pulau Impian pada mataku yang digenangi air mata rindu serindu-rindunya aku kepadamu pulauku....
Posted by SAHAR MISRON at 6:06 AM

Saturday, November 21, 2009

SELAMAT BERCUTI DAN SELAMAT BERJUANG CALON SPM/STPM

Selamat bercuti kepada seluruh warga SMK Lajau yang memulakan cuti hujung tahun hari ini. Kepada para pejuang SPM/STPM selamat berjuang semoga berjaya menaikkan imej sekolah dengan cemerlang dalam SPM/STPM 2009, juga PMR tahun ini.

Terima kasih kepada Puan Dona Undoh, PK 1 serta rakan-rakan PK lain yang menjalankan tugas pengetua sementara ini kerana pengetua menghadiri konvo anaknya di ATMA UPNM UITM, JB serta bercuti Raya haji. Selepas ini puan dan rakan-rakan pula cuti pengetua pula bertugas selepas raya haji nanti.

Kepada warga SMK Lajau jaga keselamatan dan kesihatan, maklumlah musim hujan ini, banjir pulak nanti....

Saturday, November 14, 2009

MALAM SEMARAK KASIH SMK LAJAU

MALAM SEMARAK KASIH SMK LAJAU DI DEWAN SHELL, LABUAN MERIAH. Hampir seluruh warga guru dan staf SMK Lajau hadir dalam majlis malam tadi 14 November, tahniah kepada Pengerusinya Sdr Hamka Mat Daud. Pengetua SMK Lajau, Sahar Misron sempat bersama-sama pada akhir majlis, kerana baru tiba dari KLIA dan sempat menyampaikan ucapan ringkas. Dengan tema satu Malaysia, warga SMK Lajau bergambar kenangan pada akhir majlis. Gambar akan diupload kemudian setelah mendapat gambar dari Pn. Nurfiah dan Ust Zahari. Terima kasih kepada suami Pn. Vera Biusing yang membolehkan majlis diadakan di Dewan Shell.

Tuesday, November 10, 2009

PENGETUA SMK LAJAU JALANI UJIAN KECERGASAN

Pengetua SMK Lajau, Sahar Misron bersama rakan-rakan kursus KKPP di IAB Induk menjalani ujian kecergasan di Gynasium IAB petang semalam 9.11.09. Syukur tahap kecergasan masih lagi dalam keadaan baik dan sihat, cuma beliau kena mengurangkan berat badan di bawah 70 kg, seelok-eloknya 67 kg, kena turunkan hampir 10 kg, kena banyakan exercise nampaknya, kena diet nampaknya, kurangkan makan nasi ya. Kesihatan perlu dijaga. Setiap pagi berjalan sejauh lebih 3 km adalah senaman yang baik.

Semoga warga SMK Lajau pun dalam keadaan sihat semuanya supaya dapat mendidik anak-anak SEMELA tanpa gangguan.

Sabtu nanti warga SMK Lajau akan mengadakan jamuan akhir tahun di Club Shell, Labuan, makan banyak-banyak lepas tu banyakkan senaman seperti berjogging atau berjalan.

Sunday, November 8, 2009

HUJUNG MINGGU PENGETU di iab, genting highlands

Hujung minggu pengetua SMK Lajau, Labuan di IAB, Genting Highlands dipenuhi dengan melayari internet mencari bahan untuk tugasan, Terasa sunyi di sini kerana hanya 4 peserta yang tidak pulang. Selain itu, bersembang-sembang tentang pendidikan juga tak lupa sarapan, minum pagi, makan tengah hari, minum petang dan makan malam, tambah berat badan nampaknya. Rindu juga kat isteri dan anak-anak di Labuan, adat berjauhan kan? Seminggu lagi bukan lama. Teringat juga kat SMK Lajau yang sudah macam rumah kedua pengetua.... Hujung minggu depan pulang ke Labuan, InsyaAllah.

Petang minggu ada peserta baru masuk ke Asrama Eksekutif, pengarah politeknik dan kolej komuniti. Dengar khabar seorang peserta dari Kelantan meninggal dunia dalam perjalanan ke IAB untuk kursus, Al-Fatihah.

Friday, November 6, 2009

SYARAT KEMASUKAN KE IPTA SESI 2009 UNTUK CALON SPM, DAN STPM

Asas Penggunaan 10 % Markah Kokurikulum Sebagai Syarat Kemasukan Ke IPTA Sesi 2009 Bagi Calon-Calon SPM, STPM dan STAM
Dengan hormatnya Keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet pada 5 April 2006 berhubung dengan perkara tersebut adalah dirujuk.

2. Untuk makluman, mulai tahun 2008, Bahagian Sukan, Seni dan Kokurikulum (BSSK) diberi tanggungjawab untuk merumuskan kaedah permarkahan kokurikulum bagi calon-calon yang menduduki SPM, STPM dan STAM yang memohon untuk menyambung pengajian ke IPTA. Keputusan markah yang disediakan oleh pihak sekolah hendaklah dihantar terus secara on line mulai 17 Disember 2008 kepada Bahagian Teknologi Maklumat & Komunikasi (BTMK), KPM. Justeru, pihak sekolah diberi tanggungjawab penuh untuk mengira dan menentukan markah kokurikulum calon-calon tersebut sama ada dari segi keesahan dan kebolehpercayaannya.

3. Sehubungan itu, seperti tahun-tahun sebelumnya KPM dengan kerjasama JPN dan PPD telah/akan mengadakan sesi penerangan semula di semua peringkat melibatkan Pengurusan Tertinggi KPM, Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia (KPTM), Pengarah-Pengarah Jabatan Pelajaran Negeri (JPN), Pegawai-pegawai Pejabat Pelajaran Daerah dan Wakil-wakil Kesatuan Guru.

4. Oleh itu, kerjasama dan jasa baik YBhg Dato’ /Datuk/Tuan /Puan untuk menyampaikan maklumat ini kepada semua Pengetua dan Penolong Kanan Kokurikulum Sekolah-Sekolah Menengah di negeri masing-masing. Pihak sekolah diminta supaya mengambil kira perkara-perkara berikut:


Markah hendaklah disedia dan dihantar sebelum 15 Januari 2009.
Bagi kiraan markah kemasukan ke IPTA sesi 2009 jumlah markah yang dikira adalah himpunan markah (CGPA) bagi empat tahun terakhir (2005, 2006, 2007 dan 2008 ).
Salinan cetakan markah calon SPM, STPM dan STAM hendaklah dihantar ke JPN melalui Pejabat Pelajaran Daerah untuk tujuan pemantauan dan semakan. Senarai ringkas markah bagi setiap sekolah perlu dihantar bersama.( rujuk Borang Markah seperti Lampiran 2).
Pihak sekolah diminta menyediakan Sijil Pencapaian Kokurikulum kepada setiap calon peperiksaan SPM, STPM dan STAM bagi memudahkan mereka menunjukkan bukti pencapaian.
Penilaian adalah berdasarkan “Buku Panduan Penilaian Kokurikulum Sekolah Menengah - Edisi 2007” yang disediakan oleh KPM (semua sekolah diwajibkan menggunakan sistem penilaian ini dan perubahan berdasarkan surat-surat makluman)
Bersama-sama ini disertakan juga beberapa keputusan berkaitan perkara berbangkit yang diterima oleh pengurusan sekolah bagi penilaian yang dibuat tahun 2007 (rujuk Lampiran 1).
Semua bantahan oleh calon hendaklah diselesaikan di peringkat sekolah dan sebarang perubahan markah hanya boleh dilakukan oleh Pengetua Sekolah dan diajukan terus ke Bahagian ini (up: Unit Kokurikulum) dan sesalinan ke JPN (up: Unit Kokurikulum).

5. Suka diingatkan kepada semua pentadbir sekolah, cara dan kaedah menentukan keesahan dan kebolehpercayaan markah kokurikulum calon SPM, STPM dan STAM adalah tanggungjawab pihak sekolah kerana KPM menetapkan “Sistem Penilaian Kokurikulum di Sekolah Menengah” adalah ”Penilaian Berasaskan Sekolah”.

Sokongan dan kerjasama YBhg Dato’/ Datuk / Tuan/Puan adalah amat dihargai serta didahului dengan ucapan terima kasih.


SUMBER: LAMAN WEB KPM UNTUK PELAJAR DAN GURU SMK LAJAU, SILA AMBIL PERHATIAN

Dasar Pendidikan Khas KPM

Dasar Pendidikan Khas
Program yang dijalankan berlandaskan kepada dasar-dasar berikut:

Akta Pendidikan 1996, Bab 8.
Akta Pendidikan (Pindaan) 2002.
Peraturan -Peraturan Pendidikan (Pendidikan Khas) 1997.
Keputusan Jawatankuasa Dasar, Kementerian Pelajaran Malaysia [Jawatankuasa Perancang Pendidikan (JPP), Mesyuarat Pengurusan Kementerian Pelajaran Malaysia, Jawatankuasa Kurikulum Pusat (JKP) dan Mesyuarat Pengurusan Jabatan Pendidikan Khas].


Deklarasi Antarabangsa:
United Nations' World Programme of Action Concerning Disabled Persons (1983).
The World's Declaration on Education for All (1990).
The United Nations' Standard Rules on the Equalisation of Opportunities for Person With Disablilities (1993).
The Framework for Action on Special Needs Education (Salamanca Statement) 1994.
Biwako Millennium Framework for Action Towards an Inclusive Barrier-Free and Rights-Based Society for Persons with Disabilities in Asia and the Pacific (2002).

Sumber: LAMAN WEB KPM UNTUK RUJUKAN RAKAN GURU PPKI SMK LAJAU

STATISTIK

STATISTIK
Bilangan Sekolah
Rendah: 7,655

Menengah: 2,189

Jumlah: 9,844



Bilangan Murid (Enrolmen)
Rendah: 3,111,948
Menengah: 2,304,976

Jumlah 5,416,924


SUMBER: LAMAN WEB KPM

PERSIDANGAN PERKEMBANGAN BARU DALAM PENDIDIKAN 2010-2012

MAJLIS PERASMIAN PERSIDANGAN PERKEMBANGAN BARU DALAM PENDIDIKAN 2010-2012
TEKS UCAPAN
YAB TAN SRI MUHYIDDIN BIN HAJI MOHD YASSIN
TIMBALAN PERDANA MENTERI
MERANGKAP MENTERI PELAJARAN MALAYSIA

DI MAJLIS PERASMIAN PERSIDANGAN PERKEMBANGAN BARU DALAM PENDIDIKAN 2010-2012

BERTEMPAT DI INSTITUT AMINUDDIN BAKI, GENTING HIGHLANDS, PADA 28 OKTOBER 2009, PUKUL 10.30 PAGI

Bismillahirrahmanirrahim.

Assalamu’alaikum warahmatullahi wa barakatuh, selamat sejahtera dan salam 1Malaysia.

YB Datuk Dr. Wee Ka siong
Timbalan Menteri Pelajaran I

YB Dr. Mohd Puad bin Zarkashi
Timbalan Menteri Pelajaran II

Y.Bhg. Tan Sri Dr. Zulkurnain bin Haji Awang
Ketua Setiausaha Kementerian Pelajaran Malaysia

Y.Bhg. Tan Sri Dato’ Haji Alimuddin bin Haji Mohd Dom
Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia

Timbalan-Timbalan Ketua Setiausaha dan
Timbalan-Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran

Pegawai-Pegawai Kanan Kementerian Pelajaran Malaysia

Pengarah-Pengarah Pelajaran Negeri

Dato’-Dato’, Datin-Datin, tuan-tuan dan puan-puan warga pendidik yang saya hormati sekalian.

1. Pertama-tamanya marilah kita memanjatkan kesyukuran ke hadrat Allah S.W.T. kerana dengan limpah kurnia dan izinNya kita dapat berhimpun dalam Persidangan Perkembangan Baru Dalam Pendidikan 2010-2012 di Institut Aminuddin Baki pada hari ini. Sesungguhnya persidangan ini amat penting kepada warga pendidik untuk mendapatkan penjelasan tentang dasar-dasar baru dan perkembangan semasa berkaitan dengan pendidikan di negara kita. Persidangan ini juga memberi peluang kepada warga pendidik untuk memperinci, mengkaji dan membuat penilaian tentang pelaksanaan dasar-dasar yang sedia ada dan seterusnya merancang penambahbaikan dalam konteks penyesuaian kepada dasar-dasar baru yang diumumkan oleh kerajaan.

Matlamat Pendidikan

2. Sesuatu dasar yang digubal tentunya mempunyai matlamat untuk dicapai. Dalam konteks pendidikan, dua matlamat penting yang lazimnya disasarkan ialah untuk membangunkan potensi insan secara menyeluruh dan memenuhi keperluan sosio-ekonomi negara. Kedua-dua matlamat ini saling berkait antara satu sama lain. Sesuatu sistem pendidikan yang bertujuan membangunkan potensi insan secara menyeluruh sudah pasti akan melahirkan manusia yang bukan sahaja mampu untuk memacu pembangunan ekonomi negara, tetapi juga mengisi makna kemajuan dengan nilai-nilai yang luhur. Lantaran itu, tokoh pembaharuan Islam tersohor, Muhammad Abduh, menegaskan bahawa matlamat asas pendidikan (al-ta’līm wa al-tarbiyyah) ialah untuk membentuk sahsiah insan melalui penerapan nilai-nilai murni ke dalam jiwa peribadinya agar ia menjadi insan yang baik (rijālan sālihan fī nafsih).

3. Sesungguhnya, dasar pendidikan di negara kita dipandu oleh Falsafah Pendidikan Negara yang bermatlamat untuk melahirkan insan kamil, iaitu insan yang terbangun segala potensi manusiawinya secara sempurna dan seimbang. Dalam ertikata lain, matlamat pendidikan di negara kita ialah untuk melahirkan insan yang baik melalui sistem pendidikan yang mampu menggarap dan membina potensi akal, jasmani, emosi dan rohani murid secara holistik. Matlamat inilah yang melandasi setiap dasar dan perancangan pendidikan yang digubal dan dilaksanakan di negara kita. Justeru itu, dalam mencapai matlamat melahirkan modal insan yang akan mengisi keperluan untuk memajukan ekonomi negara di masa hadapan, kita bukan sahaja menekankan aspek penguasaan ilmu dan kemahiran, tetapi juga keterampilan dan keperibadian insan yang mulia.

Transformasi dan Pembaharuan Pendidikan

4. Di samping mengekalkan matlamat asas ini, sistem pendidikan di negara kita sentiasa melalui proses transformasi dan pembaharuan dari masa ke semasa seiring dengan peredaran zaman. Dalam dasawarsa awal selepas merdeka, pendidikan di negara kita menjadi wahana penting untuk membangunkan negara dan memupuk perpaduan nasional. Oleh itu, dasar awal pendidikan kebangsaan digubal untuk mencapai dua matlamat penting ini.

5. Seterusnya, sewaktu negara kita sedang mengorak langkah sebagai sebuah negara industri baru yang pesat membangun dalam dekad 80-an dan 90-an, pendidikan menjadi wahana untuk melahirkan sumber manusia yang berupaya untuk mengisi keperluan perindustrian negara. Selanjutnya, kini ketika kita sedang bersiapsiaga untuk melakukan lonjakan berganda bagi mencapai taraf ekonomi berpendapatan tinggi, pendidikan menjadi wahana penting untuk melahirkan modal insan yang berilmu, berkemahiran tinggi dan berketerampilan untuk memacu ekonomi berasaskan pengetahuan.

5. Keupayaan untuk melakukan transformasi dan pembaharuan dalam sistem pendidikan, di samping mengekalkan matlamat asas untuk melahirkan insan yang baik, merupakan prasyarat utama kepada kejayaan kita memajukan negara dan pada masa yang sama membina masyarakat yang beradab. Malah, sistem pendidikan yang berfungsi dengan baik ialah sistem yang sentiasa melalui proses transformasi dan pembaharuan seiring dengan perkembangan semasa.

6. Dalam konteks pendidikan di negara kita, beberapa dasar yang diumumkan oleh kerajaan baru-baru ini, termasuk dasar Memartabat Bahasa Malaysia dan Memperkukuh Bahasa Inggeris (MBMMBI), mengembalikan kemeriahan sukan di sekolah dan memperkasa pendidikan prasekolah merupakan komponen penting transformasi dan pembaharuan yang sedang berlaku dalam sistem pendidikan kita, yang mana natijah akhirnya ialah berlakunya peningkatan pada kualiti pendidikan.

Akses Kepada Pendidikan Berkualiti

Tuan-tuan dan puan-puan yang dihormati,

7. Alhamdulillah, Malaysia hari ini telah diiktiraf sebagai antara negara yang paling berjaya dalam menyediakan akses kepada pendidikan untuk semua rakyat. UNESCO dalam Education for All Global Monitoring Report 2009 telah meletakkan Malaysia pada kedudukan 45 daripada 129 negara, sekali gus menempatkan Malaysia di kalangan 56 negara yang berada di kedudukan aras tinggi pada Indeks Pembangunan Pendidikan untuk Semua. Ini merupakan satu kejayaan yang amat membanggakan untuk sistem pendidikan Malaysia.

8. Walaupun kita berada pada kedudukan yang baik dalam indeks pendidikan untuk semua, ini tidak bermakna kita boleh kekal selesa dengan pencapaian kita. Dalam usaha untuk melonjakkan kemajuan dan kemakmuran negara ke tahap yang lebih tinggi, kita mestilah sentiasa berusaha bukan sahaja untuk meningkatkan akses kepada pendidikan, tetapi memperluaskan akses kepada pendidikan yang berkualiti.

Bidang Keberhasilan Utama Negara Sebahagian Daripada Proses Transformasi dan Pembaharuan Pendidikan

9. Oleh sebab itu, YAB Perdana Menteri telahpun menjadikan pemeluasan akses kepada pendidikan berkualiti dan berkemampuan sebagai salah satu daripada enam Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA), dengan hasrat untuk melahirkan modal insan yang berdaya maju dan mampu memacu ekonomi berpendapatan tinggi. Pengenalan NKRA pendidikan merupakan sebahagian daripada proses transformasi dan pembaharuan dalam sistem pendidikan kita yang insyaAllah akan melonjakkan lagi kecemerlangan pendidikan di negara ini.

10. Untuk mencapai hasrat ini, Kementerian Pelajaran telah dipertanggungjawabkan untuk melaksanakan empat komponen kecil NKRA pendidikan iaitu: pertama, meningkatkan kadar penyertaan murid prasekolah sebanyak 20% pada akhir tahun 2012; kedua, memastikan semua murid normal boleh menguasai asas kemahiran literasi dan numerasi selepas tiga tahun mengikuti pendidikan rendah; ketiga, mewujudkan sekolah berprestasi tinggi; dan keempat, memperkenalkan New Deal atau Bai’ah Baru kepada pemimpin sekolah dengan hasrat untuk meningkatkan profesionalisme pengurusan dan kecemerlangan sekolah.

Pertama: Meningkatkan kadar penyertaan murid prasekolah sebanyak 20% pada akhir tahun 2012

Tuan-tuan dan puan-puan yang dihormati,

11. Bak kata pepatah Melayu, melentur buluh biarlah dari rebungnya. Begitulah halnya dengan pendidikan anak-anak. Keutamaan harus diberikan kepada usaha menggilap potensi anak-anak sejak dari awal lagi, iaitu di peringkat pendidikan prasekolah. Untuk itu, pendidikan prasekolah akan diperkasakan dan dijadikan sebahagian daripada aliran perdana dalam sistem pendidikan kebangsaan. Pada masa ini, 67% kanak-kanak kohort umur 5 tahun mengikuti pendidikan prasekolah kerajaan dan swasta. Menjelang tahun 2012, kerajaan mensasarkan peningkatan kadar penyertaan pendidikan prasekolah kepada 87%, iaitu penambahan sebanyak 20%. Dijangkakan seramai lebih 440,000 murid akan mengikuti prasekolah pada tahun 2012 berbanding 342,706 murid pada tahun ini.

12. Bagi mencapai sasaran ini, Kementerian Pelajaran akan melaksanakan strategi yang komprehensif dan bersepadu. Antaranya ialah menambah baik kurikulum prasekolah, termasuk menambah waktu interaksi dalam Bahasa Inggeris. Bilangan prasekolah juga akan ditambah dengan pembinaan 4,194 kelas prasekolah baru menjelang tahun 2012. Kerajaan juga menimbang untuk mewujudkan kemudahan prasekolah berpusat, kemudahan asrama dan pengangkutan kepada murid di luar bandar dan pedalaman. Di samping itu, pihak swasta akan digalakkan untuk menyediakan pendidikan prasekolah melalui pemberian insentif seperti geran dan pengecualian cukai.

13. Selanjutnya, Kementerian Pelajaran akan menyediakan latihan yang komprehensif kepada guru prasekolah, termasuk guru-guru prasekolah swasta melalui pelbagai program latihan keguruan seperti Kursus Perguruan Lepasan Ijazah (KPLI) dan Kursus Peningkatan Profesionalisme Guru Prasekolah. Bagi mengatasi masalah kekurangan guru terlatih di kawasan luar bandar dan pedalaman, pihak Kementerian akan memberikan keutamaan kepada kawasan berkenaan dalam proses penempatan guru, di samping mengambil calon-calon tempatan untuk dilatih sebagai guru prasekolah. Pihak Kementerian juga akan melaksanakan pelbagai program penerangan dan promosi, terutama di kawasan luar bandar dan pedalaman, bagi membangkitkan kesedaran di kalangan ibubapa tentang kepentingan pendidikan prasekolah kepada perkembangan potensi anak-anak.

Kedua: Memantapkan penguasaan literasi dan numerasi murid

Tuan-tuan dan puan-puan yang dihormati,

14. Suka atau tidak, adalah amat merugikan jika terdapat kanak-kanak di negara kita yang mengikuti alam persekolahan tetapi masih gagal menguasai kemahiran asas membaca, menulis dan mengira (3M) apabila meninggalkan bangku persekolahan. Makanya, Kerajaan telah mensasarkan agar semua kanak-kanak normal yang mengikuti alam persekolahan mesti menguasai ketiga-tiga kemahiran asas ini ketika melangkah ke Tahun 4 sekolah rendah sebelum penghujung tahun 2012.

15. Dengan kaedah pengajaran yang berkesan, kemudahan pembelajaran yang mencukupi dan pelaksanaan pelbagai program meningkatkan penguasaan 3M seperti Kelas Intervensi Awal Membaca dan Menulis, Program Pemulihan Kemahiran Membaca, Menulis dan Mengira (PROTIM), Program Bimbingan Kemahiran Membaca, Menulis dan Mengira (PROBIM) dan Program Pemulihan Khas, saya percaya bahawa masalah kegagalan menguasai kemahiran asas literasi dan numerasi akan dapat dielakkan, sekali gus mengurangkan kadar keciciran dan tahap pencapaian pelajar yang rendah. Sehubungan itu, Kementerian Pelajaran akan mewujudkan 3,399 Kelas Pemulihan Khas di seluruh negara. Daripada jumlah ini, sebanyak 111 kelas (3.3%) telah siap dibina, 2,917 (85.9%) sedang dalam pembinaan dan 3 (0.1%) di peringkat prabina.

Ketiga: Mewujudkan sekolah berprestasi tinggi

16. Bagi menggalakkan budaya kecemerlangan di sekolah, kerajaan mensasarkan 20 buah sekolah diiktiraf sebagai Sekolah Berprestasi Tinggi pada tahun 2010. Pemilihan SBT akan dibuat berdasarkan tahap kecemerlangan akademik dan pencapaian pelajar termasuk disiplin, kebersihan, aktiviti ko-kurikulum dan penguasaan bidang keutamaan sekolah. Natijahnya ialah untuk menjadikan SBT sebagai penanda aras kecemerlangan kepada sekolah-sekolah lain, sekaligus melonjakkan pencapaian pelajar secara keseluruhan di negara ini.

Keempat: Memperkenalkan Bai’ah Baru (New Deal) kepada pemimpin sekolah

17. Kerajaan juga akan memperkenalkan Bai’ah Baru atau New Deal dengan menawarkan ganjaran kewangan dan bukan kewangan kepada pemimpin dan pasukan pengurusan sekolah yang menunjukkan prestasi cemerlang. Tujuan diperkenalkan Bai’ah Baru ini ialah untuk memastikan setiap sekolah ditadbir secara profesional bagi meningkatkan tahap kecemerlangan sekolah. Pihak Kementerian akan menetapkan sasaran yang perlu dicapai oleh Pengetua dan Guru Besar di sekolah masing-masing pada setiap tahun penilaian bedasarkan lima aspek iaitu pencapaian akademik, kokurikulum, disiplin, iklim sekolah dan kepimpinan. Sasaran yang ditetapkan perlu dipersetujui secara bersama oleh Kementerian Pelajaran dan Pengetua atau Guru Besar.

Bidang Keberhasilan Utama Kementerian

18. Di samping empat komponen kecil Bidang Keberhasilan Utama Negara yang telah saya sentuh tadi, Kementerian Pelajaran juga mempunyai dua komponen kecil bidang keberhasilan utama khusus untuk dicapai iaitu memperkasa pendidikan vokasional dan kemahiran serta memastikan semua sekolah mendapat bekalan elektrik 24 jam.

Pertama: Memperkasa pendidikan vokasional dan kemahiran

19. Pendidikan vokasional adalah penting dalam usaha kita untuk melahirkan modal insan yang berkemahiran tinggi. Dalam konteks ini, Mata Pelajaran Vokasional (MPV) menyediakan laluan kepada pelajar di sekolah menengah harian untuk mengikuti pendidikan kemahiran berbentuk hands-on. Untuk itu, Kementerian Pelajaran akan memperkasa pendidikan vokasional dengan mensasarkan penambahan sejumlah 300 bengkel vokasional di seluruh negara. Pada masa ini, sebanyak 144 buah bengkel (30%) telah siap dibina, 126 (26%) dalam pembinaan dan 30 (6%) pada peringkat prabina.

Kedua: Bekalan elektrik 24 jam di semua sekolah

20. Bagi mencapai sasaran menyediakan bekalan elektrik 24 jam kepada semua sekolah pula, Kementerian Pelajaran telah memperluaskan Sistem Solar Hibrid kepada 78 buah sekolah di Sabah, di mana 87% daripadanya telah siap dibina. Sebanyak 103 buah sekolah lagi sedang berada di peringkat prabina. Di Sarawak, sejumlah 427 (99%) projek bekalan elektrik telah siap, sementara baki 3 projek masih dalam pembinaan.

Tuan-tuan dan puan-puan yang dihormati,

21. Saya ingin menegaskan bahawa kesemua sasaran yang ditetapkan ini adalah sesuatu yang realistik dan boleh dicapai. Soalnya ialah sejauhmana kita sebagai warga pendidik bersedia untuk berusaha dengan gigih dan istiqamah dalam mencapai sasaran meningkatkan kualiti pendidikan negara. Bak kata pepatah, kalau tidak dipecahkan ruyung manakan dapat sagunya.

22. Oleh itu, pelaksanaan NKRA menuntut amalan budaya kerja cemerlang, sikap kebertanggungjawaban dan semangat mujahadah setiap daripada kita untuk melakukan yang terbaik demi nusa dan bangsa. Justeru, tugas besar yang menanti para warga pendidik ialah untuk menjayakan transformasi dan pembaharuan pendidikan dengan satu hasrat dan satu tekad bagi meningkatkan mutu pendidikan negara. Ini adalah satu amanah besar yang tergalas di bahu kita semua. Untuk itu, seluruh warga pendidik perlu saling bantu membantu dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab mulia ini, dengan hasrat untuk menghasilkan kejayaan secara kolektif. Yang berat sama dipikul, yang ringan sama dijinjing.

23. Akhir sekali, saya mengambil kesempatan ini untuk merakamkan ucapan setinggi-tinggi terima kasih kepada seluruh warga pendidik yang telah berusaha dengan bersungguh-sungguh dalam melaksanakan dasar-dasar baru kerajaan seiring dengan perkembangan terkini dalam dunia pendidikan hari ini. Sesungguhnya, selaku Menteri Pelajaran, saya amat menghargai sokongan dan kerjasama seluruh warga pendidik dalam menjayakan wawasan dan gagasan Kerajaan untuk meningkatakan kecemerlangan dan mutu pendidikan negara. Marilah kita bersama-sama memanjatkan doa ke hadrat Allah s.w.t. agar sentiasa diberikan kekuatan untuk menjunjung amanah perjuangan memartabatkan pendidikan negara.

24. Dengan lafaz Bismillah-ir Rahman-ir Rahim, saya merasmikan Persidangan Perkembangan Baru Dalam Pendidikan, 2010-2012.

Wabillahi al-Taufik Walhidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

SUMBER: LAMAN WEB KPM UNTUK RUJUKAN WARGA SMK LAJAU

MBMMBI

Memartabatkan Bahasa Malaysia, Memperkukuh Bahasa Inggeris

VISI DAN MISI KEMENTERIAN PELAJARAN MALAYSIA TERKINI

Visi
Sekolah Unggul Penjana Generasi Terbilang

Misi
Membangun Potensi Individu Melalui Pendidikan Berkualiti

NKRA

NAJIB UMUM ENAM NKRA DAN SENARAI MENTERI YANG MENERAJUINYA
PUTRAJAYA, 27 Julai (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada Isnin mengumumkan Indeks Prestasi Utama (KPI) enam teras Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA), termasuk membabitkan bidang usaha bagi mengurangkan kadar jenayah, dan memerangi rasuah.

Bidang-bidang lain termasuk meluaskan akses kepada pendidikan berkualiti dan berkemampuan; meningkatkan taraf hidup rakyat berpendapatan rendah; memperkasa prasarana luar bandar dan pedalaman; dan menambah baik pengangkutan awam dalam jangka masa sederhana.

"Saya ingin mengisytiharkan bahawa bagi setiap NKRA, seorang menteri akan dilantik sebagai 'lead minister' atau menteri pimpinan bagi menerajui NKRA yang ditetapkan," katanya ketika berucap di majlis Perdana Menteri Bersama Anggota Pentadbiran dan penjawat Awam di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini.

Menurutnya bagi NKRA untuk meluaskan akses pendidikan berkualiti dan berkemampuan, menterinya ialah Tan Sri Muhyiddin Yassin (Timbalan Perdana Menteri, Menteri Pelajaran), manakala bagi mengurangkan kadar jenayah, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein (Menteri Dalam Negeri), dan NKRA memerangi rasuah, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz (Menteri di Jabatan Perdana Menteri).

Bagi NKRA tingkatkan taraf hidup rakyat berpendapatan rendah pula menterinya ialah Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil (Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat), memperkasa prasarana luar bandar dan pedalaman Datuk Seri Shafie Apdal (Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah), dan menambah baik pengangkutan awam, menterinya ialah Datuk Seri Ong Tee Keat (Menteri Pengangkutan).

"Hari ini saya akan letakkan KPI kepada 6 jurusan NKRA tersebut. Untuk setiap NKRA, akan dikenal pasti pula KPI-KPInya dengan sasaran khusus agar dapat diukur.

"Dengan adanya KPI ini, maka segala prosedur akan diperkemas, segala sumber dan tenaga dalam organisasi akan digembleng dan segala usaha akan ditumpu untuk mencapai sasaran yang dipateri dalam satu tempoh masa munasabah yang dijanjikan," katanya.

Najib berkata kerajaan komited melakukan proses transformasi melalui pengurusan berteraskan pencapaian dengan menggunakan kaedah penetapan NKRA dan pengukuran KPI.

Beliau berkata semua ini dilakukan bagi memastikan akhirnya rakyatlah yang akan memperoleh segala faedah nanti.

Menurutnya beliau selaku Perdana Menteri akan bertanggungjawab secara keseluruhan terhadap matlamat NKRA dan pencapaian KPI tersebut.

"Setiap minggu saya akan berjumpa dengan setiap 'lead minister' ini bagi menilai pencapaian KPI yang ditentukan. Maknanya dalam setiap enam minggu, saya akan dapat menyelesaikan satu pusingan penilaian pencapaian bagi enam lapangan NKRA seperti yang direncanakan," katanya.

Sehubungan itu, Najib berkata anggota Jemaah Menteri lain yang tidak termasuk dalam NKRA pula tidak terkecuali daripada mempunyai KPI kerana mereka tetap dipertanggungjawab untuk mencapai KPI kementerian masing-masing, yang akan dinilai oleh Perdana Menteri sendiri setiap enam bulan.

Beliau mengakui pengenalan NKRA dan KPI bukan satu perkara yang baru, namun menurutnya "keluasan dan keperincian inisiatif" yang ditekankan pentadbiran sekarang adalah sesuatu yang "belum pernah ditampilkan sebelum ini" dan menjadi tanda aras yang terkini.

"Selain itu sesuai dengan pengumuman saya ketika berucap merasmikan majlis perjumpaan bersama perkhidmatan awam mengenai 'cross-fertilisation', suka saya umumkan bahawa 20 nama kakitangan kerajaan dan 20 kakitangan GLC sudah dikenal pasti untuk ditempatkan dalam program ini yang dijadualkan bermula 1 Sept ini," katanya.

Najib berkata sebagai ketua kerajaan beliau insaf bahawa yang akan menilai kepimpinan beliau akhirnya adalah rakyat sendiri.

"Saya sedar bahawa apa yang digariskan hari ini adalah sesuatu yang monumental. Ia melibatkan komitmen mendalam dan tuntutan yang tinggi kepada anggota pentadbiran dan penjawat awam secara kolektif.

"Yang nyata, amanah yang diberikan oleh tuan-tuan dan puan-puan di atas jemala pentadbiran ini bukanlah perkara yang mudah, sebaliknya saya bertanggungjawab untuk membuat perkara yang betul walaupun ia sukar.

"Jelas sekali kita tidak punyai pilihan, sama ada bergerak maju ke hadapan dengan penuh yakin, atau mengambil risiko untuk ditinggalkan dalam perlumbaan global yang sengit," kata Perdana Menteri.

Sumber : Bernama

NKPI KPM

YAB Perdana Menteri telah mengumumkan fokus Bidang Keberhasilan Utama (NKRA) bagi kerajaan apabila beliau mula memegang tampuk pimpinan negara. NKRA tersebut turut merangkumi bidang pendidikan negara yang dipertanggungjawabkan kepada Kementerian Pelajaran Malaysia. Bidang keutamaan yang dikenalpasti yang diberi keutamaan oleh negara ialah meluaskan akses kepada pendidikan berkualiti dan berkemampuan. Di bawah NKRA KPM tersebut difokuskan kepada 4 sub-NKRA iaitu:
1. Prasekolah - dimana peningkatan 20% penyertaan kanak-kanak 5 tahun ke atas ke pendidikan prasekolah dengan menjadikan pendidikan prasekolah sebagai aliran perdana dalam sistem pendidikan kebangsaan pada tahun 2012.
2. Literasi dan Numerasi - di mana semua kanak-kanak yang tidak mempunyai masalah pembelajaran boleh menguasai kemahiran literasi dan numerasi sebelum melangkah ke tahun 4 pada tahun 2012.
3. Sekolah Berprestasi Tinggi - di mana usaha KPM membangunkan 100 buah ' high performance schools ' termasuk 'trust schools' pada akhir tahun 2012.
4. Pengetua/Guru Besar - di mana bai'ah atau akujanji kepada Pengetua/Guru Besar berdasarkan 'performance based assessment' mulai tahun 2010.
Key Performance Indicator (KPI) atau Bidang Pengukuran Prestasi bagi KPPM telah ditetapkan berdasarkan kepada beberapa kpi :
1. Nisbah Guru:Murid mengikut sasaran tahun semasa ( Sekolah Menengah 1:17, Sekolah Rendah 1:16)
2. Penurunan kes disiplin sekolah sebanyak 0.02% setahun bagi semua jenis sekolah rendah dan sekolah menengah seluruh negara.
3. Peratus peningkatan sebanyak 1.0 % setahun bagi kadar pencapaian murid dalam Kelas Intervensi Awal (KIA2M).
4. Pencapaian pelajar berdasarkan Gred Purata Nasional pada peringkat UPSR (GPN=3.00), PMR (GPN=3.50), dan SPM (GPN = 6.00).
5. Peningkatan 2 % Guru Ijazah Terlatih di sekolah rendah dan 1 % di sekolah menengah.
6. Penurunan peratus jurang pencapaian pelajar bandar dan luar bandar (UPSR - 0.3%, PMR - 0.3%, dan SPM - 0.2%)

Tuesday, November 3, 2009

PENGETUA SMK LAJAU BERKURSUS DI IAB INDUK, SRI LAYANG

Pengetua SMK Lajau, Sahar Misron berkursus KKPP di IAB INduk, Sri Layang, Genting Highlands selama dua minggu mulai 1 NOVEMBER 2009. Bersama-sama 16 peserta lain dari seluruh negara, beliau amat berterima kasih kepada pengurusan IAB yang memberi peluang berkursus untuk mendapatkan ilmu bagi diaplikasikan untuk memajukan sekolah ini, juga terima kasih kepada Pengarah Pelajaran W.P Labuan yang memberi pelepasan. Semoga perkongsian pengalaman dengan rakan pengetua seluruh negara akan dikongsikan dengan warga SMK lajau sekembalinya ke Labuan kelak. Selamat berkursus.

CERAMAH POLIS DI SMK LAJAU

Pagi Isnin, 2 November 2009 Ceramah Polis untuk pelajar-pelajar SMK Lajau diadakan di Dataran Gemilang sekolah ini. Semoga ceramah ini memberi manfaat kepada warga SMK Lajau. Terima kasih kepada Ketua Polis W.P Labuan dan anggota yang menyampaikan ceramah.

Sunday, November 1, 2009

PASUKAN BOLING PENDIDIKAN KHAS SMK LAJAU NAIB JOHAN KEBANGSAAN

Pasukan Boling Pendidikan Khas SMK Lajau yang mewakili Labuan ke Pertandingan Peringkat Kebangsaan minggu lepas dengan SMK Mutiara berjaya mendapat tempat kedua (Naib Johan) Kebangsaan. Tahniah kepada pasukan Boling SMK Lajau yang mendapat tempat kedua dalam pertandingan ini. Pengetua dan warga SMK lajau bangga dengan kejayaan kalian... Teruskan latihan untuk sasaran juara tahun hadapan...