Thursday, November 26, 2009

KENANGAN KEMBALI KE PULAU IMPIAN

Sudah bertahun aku mengabdikan diri kepada kapal Durian Tunjung, sebuah kapal perdagangan milik rakyat tempatan. Sebuah kapal dagang yang telah menyusur lautan dan teluk seluruh pelosok dan ceruk dunia, lautan mana yang tidak diredah, telukan mana yang belum dituju, pelabuhan mana yang tidak disinggahi. Aku bukanlah kapten kapal Durian Tunjung, aku bukanlah kelasi kapal, aku hanya seorang jurukimpal kapal ini. Sudah bertahun aku lakukan kerja ini, aku sudah masak benar dengan setiap sudut dan perut kapal. Kerjaku tidaklah sesusah mana, kadangkala hampir seminggu aku duduk makan tidur sahaja, bukan banyak yang hendak dikimpal, kalau adapun anak buahku boleh menyelesaikannya, tidak perlu pun merujuk kalau perkara kecil.

Petang ini kami akan berlabuh di Pelabuhan Changi, Singapura. Rasanya tidak jauh daripada Pulau Impian, pulau tempat kelahiranku yang kutinggalkan hampir setahun lalu kerana kapal kesayangan kami Durian Tunjung ini belayar jauh ke pelabuhan-pelabuhan di Eropah. Serasa ternampak-nampak Pulau Impian, pulau kesayangan kami. Seronoknya nanti kami akan kembali ke Pulau Impian. Pulau Impian yang melahirkan aku, Pulau Impian yang membesarkan aku, Pulau Impian yang menjadi guru kehidupanku.Aku sangat menyayangi pulauku ini, pulau yang menzahirkan makna kehidupanku di alam penuh cabaran ini.

Terbayang zaman aku semasa kecil di sebuah perkampungan nelayan yang dipanggil orang Arulajau. Betapa seronoknya aku bermain-main di pasir pantai bersama teman sebaya, mandi laut tak berbaju. Terbayang wajah ayah mencuka apabila aku pulang lewat senja, leteran ibu yang menjadi halwa telinga, mereka amat menyayangi aku. Maklumlah aku anak tunggal mereka. Siapa tidak sayangkan anak tunggalnya, akulah sahaja anak mereka, tidak dua tidak tiga. Aku tiada kakak, aku tiada abang, aku tiada adik. Kadangkala iri hati juga melihat kawan-kawanku yang mempunyai ramai adik-beradik, riuh-rendah suara mereka, sedangkan aku hanya berseorangan di rumah. Mungkin juga ada sedikit rasa kurang puas hati, semacam protes, menjadikan aku terlalu manja, malas melakukan perkara-perkara seperti membaca.

Terbayang zaman aku bersekolah di SK Arulajau, terbayang-bayang semasa bersekolah menengah di SMK Arulajau. Masih terdengar-dengar di telingaku ketika pengetua sekolah dengan tegas tetapi lembut menasihati kami supaya memilih jalan hidup yang betul, belajarlah bersungguh-sungguh untuk mengubah nasib keluarga, usah biarkan putaran kemiskinan membelenggu hidup kami. Ada benar pada kata pengetua berambut pendek yang berusia separuh abad ketika itu, kami sangat menghormatinya kerana ketegasannya mengawal kami, anak remaja yang sedang mencari identiti diri ketika itu. Marahnya pada tenungan matanya yang tajam yang amat kami geruni. Teringat aku ketika di Tingkatan 4, seharian aku "mengarang" di biliknya kerana gagal menyiapkan karangan yang diberikan oleh guru Bahasa Melayu kami. Aku anggap pelik betul perangai pengetua kami itu. Sehingga jam 5.00 petang aku "mengarang" di biliknya dengan tajuk yang ditetapkan bertajuk "Masa Depanku Bukan Kerana Untung Nasib", entah macam mana ideaku mengarang amat luar biasa hari itu, entah kerana takut, entah kerana terpaksa, entah kerana apa aku pun tidak pasti, yang pasti aku boleh menulis hampir habis sebuah buku latihan karanganku. Beliau selamba sahaja sambil membuat kerja-kerja di mejanya. Lewat petang, dengan suara tegas katanya, "Sudah, siapkan perenggan akhir, buat kesimpulan karangan kamu, saya beri masa lima minit, lepas itu tinggalkan buku kamu di atas meja saya, lepas itu ikut saya."

Aku menyiapkan perenggan akhir karanganku, masih kuingat apa yang kutulis, antaranya, "saya ingin menjadi manusia berguna yang tidak bergantung kepada untung nasib seperti sabut di tengah lautan, saya ingin berubah, saya mahu berhenti sekolah di SMK Arulajau, saya ingin masuk ke Pusat Giatmara, bukan kerana membenci cikgu-cikgu dan pengetua tetapi saya ingin belajar menjadi jurukimpal. Jumpa lagi tuan pengetua, restukan saya mencapai cita-cita ini." Selesai menulis karangan itu lalu dengan hormat aku letakkan di atas meja pengetua seperti yang dipesannya. Dalam hatiku tertanam azam untuk meninggalkan SMK Arulajau bukan kerana bencikan pengetua tetapi kerana ingin membuktikan hasrat hati, kerana aku teringat kata-kata pengetua dalam perhimpunan rasmi minggu sebelumnya, "Sesiapa yang tidak berminat belajar akademik di SMK Arulajau, dengan hormatnya pergilah bersekolah di Giatmara yang mengajar pelbagai kemahiran untuk hidup, saya akan sokong permohonan kamu!"

Petang itu aku dihantar ke rumah oleh pengetua dengan kereta barunya sebuah kereta jenama tempatan. Ingatkan aku kena menapak balik ke rumah. Beliau menghantar aku hingga ke rumahku. Sesampainya aku di rumah, babah dan mama menunggu dengan senyuman penuh makna, mereka mengucapkan terima kasih kepada pengetua kerana menghantar aku hingga ke rumah. Aku menyalami dan mencium tangan pengetua serta babah dan mama, minta izin naik ke rumah. Pengetua berbual-bual dengan kedua-dua orang tuaku. Dalam perbualan mereka, barulah aku tahu pengetua terlebih dahulu telah menelefon babah sebelum menahanku di biliknya. Dan yang paling mengejutkan aku apabila pengetua berkata, "Mulai esok Mat tak perlu bersekolah lagi di SMK Arulajau, kerana saya telah aturkan dengan pengurus Giatmara untuk Mat belajar di sana, dia sangat berminat dengan kerja-kerja kemahiran" Di atas rumah, aku seolah-olah ingin melonjak sampai ke siling rumah, lepaslah aku dari terpaksa belajar macam-macam mata pelajaran yang tidak pernah menarik minatku. Rasa nak peluk pengetua ketika itu. Aku sempat melambai-lambaikan tanganku dari tingkap ketika pengetua memandu kereta meninggalkan laman rumahku.

Ah!.... itu kenangan dua puluh tahun silam. Masih hidupkah pengetua yang berjaya mengubah untung nasibku menjadi pengimpal kapal. Tindakannya menjadi titik mula kehidupanku mengelilingi dunia walaupun lautan menjadi sebahagian daripada rumahku. Terima kasih pengetua, keikhlasanmu membuatkan aku sentiasa mengenangmu hingga kini. Kuharap dapat berjumpa denganmu, agar aku dapat memelukmu nanti. Pelabuhan Changi bukannya jauh sangat dengan Pulau Impian. Rasa rinduku makin membuak, pada Pulau Impian, tanah kelahiran, kepada babah dan mama yang lama tidak aku temui, kepada kawan-kawan yang lama kutinggalkan.

Walaupun menjadi pengimpal kapal tidaklah se"glamour" kapten kapal atau kelasi yang lain, tetapi cukup mengajarku pengalaman hidup yang amat berguna, tidak pernah menyangka aku akan belayar jauh ke serata dunia, hampir setiap pelabuhan di dunia telah aku kunjungi, berkat "mengarang" di bilik pengetua dulu. Berkat doa pengetua, berkat doa babah dan mama. Aku masih seperti dulu, anak Pulau Impian yang memegang prinsip hidup, tidak pernah aku melupakan asal-usul, tidak pernah aku tinggalkan solat meskipun ketika berada di tengah lautan. Dengan gaji yang boleh dikatakan agak lumayan, aku sentiasa ingat untuk mengirimkan kepada babah dan mama apabila singgah di mana-mana pelabuhan. RM15500.00, dengan makan tanggung, pakaian seragam disediakan, orang bujang seperti aku masih dapat menyimpan sebahagaian besar gajiku. Masih ingat ketika aku berlabuh di Pelabuhan Amsterdam, Belanda lima bulan lalu, aku membuat kiriman wang untuk Perpustakaan Arulajau sebanyak RM10,000.00. Bukan aku ingin berbangga dengan sedikit sumbanganku itu, setidak-tidaknya bolehlah pihak sekolah membeli buku-buku baru untuk pelajar-pelajarnya yang jumlahnya kini mencecah 1000 orang, hanya sedikit sumbanganku yang kurasa tidakpun setimpal dengan jasa warga guru dan pengetua yang mendidikku dengan makna sebenar kehidupan.

Aku masih teringat ketika babah dan mama yang kurang bersetuju apabila aku menyatakan ingin mengikuti pengajian di ILP dalam bidang kimpalan, kata mereka kerja itu sangat kasar dan berisiko, puas kupujuk mereka, susah benar untuk meyakinkan mereka. Akhirnya dengan bantuan pengetua SMK Alulajau, mereka akur dengan kehendakku, maklumlah aku anak tunggal babah dan mama. Aku begitu terhutang budi kepada pengetua itu. Begitu juga ketika aku ditawarkan mendalami bidang kimpalan di Korea dulu, jasa pengetua itu tidak dapat kubalas budi baiknya. Beliau telah memujuk babah dan mama untuk mengizinkan aku belajar di Korea, tiga bulan aku di Korea, sekembalinya aku ke Pulau Impian, satu lagi masalah timbul apabila aku memberitahu babah dan mama aku akan mengikuti pelayaran dengan Kapal Durian Tunjung sebagai pengimpal dalam latihan. Sekali lagi pengetua yang sudah menjadi sebahagian daripada hidupku meyakinkan babah dan mama aku belayar untuk mencari rezeki halal, dan dapat juga meluaskan pengalaman melihat negeri orang. Babah dan mama dengan berat hati melepaskan aku pergi dengan iringan doa dan pesan, "jaga diri baik-baik nak, jangan tinggalkan solat, jangan minum minuman keras dan berhati-hati dalam pergaulan, ingatlah babah dan mama jika ingin melakukan sesuatu yang tidak pasti." Begitu juga pesanan yang hampir serupa disampaikan oleh pengetua SMK Arulajau.

Pelabuhan Changi sudah terlalu hampir dengan Pulau Impian.Rinduku kepada Pulau Impian makin menebal, rinduku kepada babah dan mama makin mencengkam, rinduku kepada pengetua SMK Arulajau yang kini sudah bersara begitu menyengat. Masih hidupkah dia kerana sudah agak lama tidak menghubunginya, maklumlah dalam kesibukanku di perut Kapal Durian Tunjung, begitu lama aku tidak membuka e-mailku atau membuka blog peribadi bekas pengetua SMK Arulajau. Dulu blognya memang menjadi kegemarannku untuk membaca jalur fikiranya yang kutafsirkan amat luar biasa dan serasi dengan remaja sepertiku yang lebih suka melakukan pembelajaran menggunakan tangan atau tulang empat kerat, kurang menggunakan minda tetapi lebih suka akan kemahiran tangan, memang pantas tanganku bekerja mengimpal tetapi kalau disuruh membaca buku, memang aku paling malas, yalah buku sejarah ke buku sastera ke, buku geografi ke buku bahasa Inggeris ke, memang membosankan, sampai bila pun tak akan habis kubaca, aku lebih suka bercakap sambil tangan membuat kerja. Aku belajar bahasa Inggeris pun melalui pergaulanku dengan pelancong yang datang ke Pulau Impian, agak fasih juga aku bercakap Inggeris. Sekarang apa lagi lancar macam air kerana ramai pekerja Eropah yang tidak tahu berbahasa Melayu, tetapi kalau disuruh menulis memang aku tidak berapa mahir... Terima kasih pengetua "pelik" yang berjaya mendorongku belajar kemahiran di Giat Mara, seterusnya ke ILP dan aku berpeluang belajar di Korea dan berpeluang mengelilingi dunia dengan Kapal Durian Tunjung. Walaupun aku bukan tergolong pelajar pintar tetapi kerana motivasi yang diberikan oleh pengetua dan guru-guruku mendorong aku bertukar arah daripada susah-susah belajar bermacam-macam mata pelajaran kepada satu bidang kecil yang lebih berfokus, aku bangga dengan pekerjaanku sekarang kerana kemahiranku mengatasi kebolehan seorang jurutera kapal kerana aku melakukan sendiri kerja-kerja kimpalan itu sedangkan jurutera itu hanya tahu mengarah sahaja, buat itu buat ini.

Aku amat berterima kasih kepada guru-guruku, sahabat-sahabatku serta pengetua bermisai tebal itu yang telah memberikan aku semangat yang hebat hingga membolehkan aku menjadi seperti aku pada hari ini, yang berani bertarung di tengah Lautan Atlantik, Lautan Pasifik, Lautan Hindi, Lautan Andaman, apa lagi Lautan China Selatan atau Selat Sunda dan Selat Melaka. Pengalaman hidup ini akan aku kongsikan dengan rakan-rakan yang masih menetap di Pulau Impian, dengan pelbagai jenis pekerjaan itu. Kalau ada yang berminat menjadi jurukimpal macam aku akan aku tunjuk ajarinya sampai pandai atau lebih pandai daripadaku.

Tidak lama lagi kapal kami akan belayar lagi menuju Pulau Impian, pulau kesayanganku, pulau yang menjadi kampung halamanku sejak aku mengenal dunia lagi. Ah! Rindunya kepada Pulau Impian yang sentiasa bermukim dalam kotak fikiranku selama-lamanya. Kapal kami belayar menuju destinasi yang pasti.

Nampak berbalam-balam Pulau Impian pada mataku yang digenangi air mata rindu serindu-rindunya aku kepadamu pulauku....
Posted by SAHAR MISRON at 6:06 AM

No comments: